Siakap Keli
pendaftaran baharu kemas kini str
Kredit: BERNAMA

Pendaftaran Baharu, Kemas Kini STR Dibuka Mulai Hari Ini Hingga 31 Mac

Pendaftaran Baharu, Kemas Kini STR Dibuka Mulai Hari Ini Hingga 31 Mac

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dibuka untuk pendaftaran baharu dan kemas kini mulai 1 hingga 31 Mac 2023.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan berkata perkara ini dilakukan bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing.

Ia juga membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk membuat pengemaskinian.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata STR pada tahun 2023 akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.

“Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan,” kata kenyataan itu pada hari ini.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR Fasa 1 akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan.

“Data daripada beberapa agensi kerajaan untuk disemak silang kelayakan STR mengikut syarat yang ditetapkan.

“Kementerian Kewangan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Orang ramai yang ingin mendaftar secara fizikal di boleh hadir ke mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pejabat Satelit LHDN, Pusat Khidmat Hasil LHDN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Rakyat Malaysia boleh hadir ke pejabat yang tertera pada 8 Mac hingga 31 Mac ini.

Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut, pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my

Bajet 2023: RM8 bilion diperuntukkan untuk STR

Sebelum ini, semasa pembentangan bajet yang dilakukan Anwar Ibrahim, beliau menyatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program STR Fasa 1.

Menurutnya, sebanyak RM8 bilion akan diperuntukkan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah tersebut.

Jelasnya, beberapa pembaharuan akan dilakukan untuk mengambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

“Isi rumah pendapatan kurang 2,500 ringgit, layak terima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak.

“Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.

“Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 kepada mereka,” ujarnya.

Sumber: Kementerian Kewangan via Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana