Siakap Keli
Terpaksa Usung Jenazah Tiga Kilometer
Gambar: Sinar Harian | Kompas.com

Terpaksa Usung Jenazah Tiga Kilometer

Terpaksa Usung Jenazah Tiga Kilometer

Sekumpulan penduduk dilapor terpaksa mengusung jenazah sejauh tiga kilometer (km) kerana tiada akses jalan raya dalam kejadian di Indonesia pada Rabu, memetik Kompas.com.

Jenazah yang disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung oleh Hospital Besar Wilayah Nusa Tenggara Barat (RSUP) itu diusung menggunakan kain dan batang buluh.

Difahamkan, ia diusung oleh penduduk kampung Dusun Sempeni, Dusun Erat Mate dan Desa Mekarsari dari jalan di Dusun Montong Jontok hingga ke Kampung Sempeni.

Dalam satu video yang tular di media sosial, kelihatan penduduk bergilir-gilir mengusung jenazah itu membuatkan warganet terharu dengan tindakan mereka.

Ketua RT Sempeni Arsa Hadi berkata, “Pengalaman ini berulang, berpuluh-puluh orang sakit dan meninggal.

“Kami selalu angkut (membawa orang sakit) kerana tidak ada akses jalan untuk kenderaan empat roda (kereta),” katanya.

Terpaksa Usung Jenazah Tiga Kilometer
Kredit: Kompas.com

Bimbang kalau ada penduduk sakit

Dalam masa sama, Hadi mendedahkan seramai 120 keluarga yang tinggal di Kampung Sempeni sentiasa bimbang sekiranya ada ahli keluarga mereka yang sakit.

“Lebih-lebih lagi jika seseorang itu mengandung atau lumpuh. Bayangkan kami bertungkus-lumus berjalan kaki sejauh tiga km di atas bukit untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan,” katanya.

Justeru, Hadi berharap agar kerajaan dapat melihat kesempitanrakyat yang memerlukan infrastruktur jalan raya sebagai akses mudah untuk perkhidmatan awam melaluinya.

“Sudah banyak kali kami usulkan kepada ketua kampung, supaya ada jalan masuk (jalan raya) sekurang-kurangnya ada akses untuk kereta.

“Dan kami berharap kemudahan jalan itu dibuat secepat yang mungkin,” tambahnya.

BACA JUGA: Keranda Lalu Depan Pengantin Semasa Majlis Kahwin, Tetamu Lari Balik Rumah

Malah, kejadian hampir sama berlaku di Mojokerto, Jawa Timur lima bulan lalu apabila jenazah terpaksa diusung melalui majlis perkahwinan yang sedang berlangsung.

Difahamkan, keranda itu terpaksa diusung melalui jalan tersebut kerana khemah yang dibina ketika majlis tersebut didapati menutup laluan utama jalan kampung.

Dalam rakaman video itu juga, dapat dilihat segelintir penduduk mengiringi keranda tersebut sehingga melepasi khemah.

Malah, ketika itu tetamu yang hadir ke majlis tersebut sedang menikmati makanan yang dihidangkan.

Apabila tetamu melihat jenazah tersebut melintasi khemah perkahwinan, mereka bertindak untuk meninggalkan majlis itu.

Dianggarkan terdapat berpuluh-puluh tetamu yang balik lantas menjadikan khemah tersebut berubah menjadi sunyi.

Pengerusi majlis pada hari kejadian yang dikenali sebagai Memed berkata majlis resepsi pengantin bernama Sunaryadi itu sudah lama dirancang.

Namun, semasa majlis itu ada seorang jiran mereka meninggal dunia.

Sumber: Kompas.com

Florence Nuar