Siakap Keli
pesawat mh370
Gambar: Bernama

Genap 9 Tahun, Mengenang Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

Genap 9 Tahun, Mengenang Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

Sejak bertahun-tahun, industri penerbangan negara telah menempuhi pelbagai fasa kejayaan. Baik penerbangan secara domestik mahupun antarabangsa.

Namun, terdapat juga tragedi yang tidak dapat dielakkan dan menjadi misteri hingga sekarang.

Hari ini (8 Mac 2023), genaplah sembilan tahun tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu difahamkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi, 8 Mac 2014. Pesawat berkenaan dijangka mendarat di ibu negara China, Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Misteri kehilangan pesawat milik Malaysia itu sehingga kini menjadi tanda tanya, bukan sahaja di Malaysia malah ia mendapat liputan seluruh dunia.

Dalam jumlah 239 orang di dalam pesawat berkenaan, 153 daripadanya warganegara China, 38 dari Malaysia. Selain 12 Indonesia, 7 Australia, 3 Perancis, 4 Amerika Syarikat, 2 New Zealand, 2 Ukraine dan 2 Kanada.

Selain seorang masing-masing dari negara Rusia, Itali, Taiwan, Belanda dan Austria.

Kronologi Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

Gambar: AFP/Tengku Bahar

2014

8 Mac — MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi. Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal gagal dihubungi kurang sejam kemudian.

Mesej terakhir yang disampaikan dari kokpit pesawat berkenaan adalah pada jam 1.19 pagi. “Good Night, Malaysian Three Seven Zero” sebelum ia dilaporkan hilang dari radar.

BACA JUGA: Tragedi MH17, ECHR Umum Keputusan Pendengaran Kes Belanda Terhadap Rusia Malam Ini

Pada hari yang sama, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan di Laut China Selatan.

9 Mac — Pada hari berikutnya kawasan pencarian diperluaskan sehingga ke Selat Melaka selepas pesawat itu dipercayai berpatah balik.

Dalam operasi SAR, beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat mengerahkan anggota dan aset masing-masing untuk membantu dalam misi itu

Gambar: Bernama

15 Mac — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kali terakhir pesawat itu berkomunikasi dengan satelit berkemungkinan dari satu daripada dua koridor; koridor utara daripada sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand atau koridor selatan, lebih kurang dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

BACA JUGA: “Selamat Malam Malaysia 370..,” Genap Lapan Tahun Misteri Kehilangan MH370 Tiada Jawapan

Seramai 26 negara terlibat dalam operasi meliputi 2.24 juta batu nautika persegi.

24 Mac — Perdana Menteri, Datuk Seri Naib Tun Razak mengumumkan bahawa data dikeluarkan satelit Inmarsat Britain memutuskan bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

1 April — Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) bagi menyelaras operasi pencarian MH370.

4 April — JACC berkata operasi mencari MH370 memasuki fasa baharu dengan pencarian dilakukan di dasar laut di selatan Lautan Hindi bagi mengesan ‘pinger’ kotak hitam.

31 Julai — JACC berkata kerja-kerja mengukur batimetrik oleh kapal Zhu Kezhen dan Fugro Equator di sepanjang arka ketujuh di selatan Lautan Hindi berjalan lancar.

21 Oktober — Kapal Malaysia yang diberi kontrak, Go Phoenix, menyertai operasi mencari bersama kapal Fugro Discovery dan Fugro Equator, kedua-dua kapal yang diberi kontrak oleh Malaysia dan Australia.

Tambahan lagi, satu lagi kapal, Fugro Supporter ditambah untuk membantu operasi mencari.

2015

29 Januari — Ketua Pengarah, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman secara rasmi mengisytiharkan MH370 adalah satu kemalangan. Ia mengikut Standard Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Chicago dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban.

12 Februari — Kerajaan Malaysia berbincang dengan China untuk menambah kapal bagi menyertai operasi mencari MH370, ketika ini melibatkan empat kapal.

25 Februari — Operasi SAR MH370 di kawasan terpencil Lautan Hindi meliputi dasar laut lebih 24,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 40 peratus daripada kawasan pencarian utama, kata JACC.

pesawat mh370
Gambar: Bernama

18 Jun — Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia meneruskan fasa kedua misi pencarian MH370 dengan hanya dua kapal meredah kawasan terpencil di Lautan Hindi. Fasa pertama meliputi lebih 52,000 kilometer persegi selesai pada bulan yang sama.

BACA JUGA: Pemburu Amatur Dakwa Temui Kokpit Dan Ekor Pesawat MH370 Di Hutan Kemboja?

29 Julai — Seorang pekerja pembersih pantai di pulau La Reunion di Lautan Hindi, milik Perancis, menemui bahagian sayap sepanjang 2.7 meter dikenal sebagai ‘flaperon’ di mana para pakar percaya ia milik sebuah pesawat jenis Boeing 777. MH370 merupakan satu-satunya pesawat jenis Boeing yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

6 Ogos — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa flaperon yang ditemukan di pulau La Reunion itu adalah daripada pesawat MH370

2016

7 Mac — Serpihan kedua dipercayai kemungkinan milik pesawat MH370 ditemui di pulau La Reunion, demikian dilaporkan oleh agensi berita AFP.

20 April — Serpihan kedua dipercayai kemungkinan milik pesawat MH370 ditemui di pulau La Reunion, demikian dilaporkan oleh agensi berita AFP.

14 Mei — DCA hampir 90 peratus pasti kedua-dua serpihan yang ditemukan, masing-masing di Afrika Selatan dan Mauritius adalah daripada pesawat MH370.

22 Julai — Malaysia, China dan Australia memutuskan untuk menangguhkan operasi pencarian pesawat MH370 apabila pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.

pesawat mh370
Gambar: Bernama

16 September — Dua daripada sejumlah 24 serpihan pesawat ditemui di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania disahkan adalah daripada pesawat MH370 manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat yang hilang itu.

7 Oktober — Para pakar ATSB memutuskan serpihan yang dijumpai di pulau Mauritius adalah daripada pesawat MH370.

20 Disember — ATSB berkata kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai kawasan pencarian. Sebelum ini bukan merupakan tempat terletaknya bangkai pesawat MH370.

BACA JUGA: Netflix Umum Bakal Tayangkan Dokumentari MH370 8 Mac Ini

2017

17 Januari — Operasi pencarian MH370 di dasar laut di Lautan Hindi digantung, demikian menurut kenyataan tiga pihak – Malaysia, Australia dan China.

27 Januari — Serpihan Fairing Flap Support Sayap Kanan No. 7 ditemui di Afrika Selatan oleh Orang Tempatan.

13 April — CSIRO menerbitkan The Search for MH370 dan Ocean Surface Drift Part II.

26 Jun — CSIRO menerbitkan The Search for MH370 dan Ocean Surface Drift Part III.

9 September — RNZAF mengeluarkan 204 Gambar Serpihan Terapung yang diambil semasa Pencarian Udara.

3 Oktober — ATSB menerbitkan Laporan Akhir bertajuk The Operational Search for MH370.

3 Oktober — CSIRO menerbitkan The Search for MH370 dan Ocean Surface Drift Part IV.

7 Disember — Persidangan Ocean Infinity di London.

2018

21 Januari  — Ocean Infinity memulakan semula Pencarian Bawah Air untuk MH370.

8 Jun — Ocean Infinity menamatkan Pencarian Bawah Air untuk MH370.

28 Jun 2018 — Geosains Australia mengeluarkan Data Carian Bawah Air MH370.

30 Julai —  Malaysia menerbitkan Laporan Penyiasatan Keselamatan untuk Malaysia Airlines Boeing B777-200ER (9M-MRO).

20 Ogos — Serpihan Panel ditemui di Madagascar oleh Fisherman.

Sementara itu, pada Disember 2021, seorang jurutera aeronautik dari Britain Richard Godfrey, meramalkan mengenai lokasi terakhir keberadaan MH370, lapor Astro Awani.

Dakwanya, pesawat tersebut dipercayai terhempas kira-kira 2,000 kilometer dari Barat Perth di Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Angus Mitchell berkata Godfrey telah mengesyorkan lokasi mencari “bahagian penting” terhadap pihaknya.

Tambahan lagi, menurut pakar penerbangan Prof Mohd Harridon Mohamed Suffian, Malaysia juga perlu turun padang untuk membantu bersama dalam misi pencarian.

BACA JUGA: Mahkamah Belanda Putuskan Pesawat MH17 Ditembak Jatuh Akibat Peluru Berpandu Buatan Rusia

Berita Terkini Mengenai MH370

Gambar: AFP

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa misi pencarian pesawat tersebut tidak akan sesekali dihentikan.

Beliau berkata, misi pencarian terhadap tragedi yang berlaku pada tahun 2014 itu akan disambung semula sekiranya terdapat maklumat baharu berhubung pesawat itu.

Insiden itu sudah tentu menimbulkan seribu tanda tanya terhadap ahli keluarga mangsa yang masih menunggu-nunggu berita tersebut.

Tambah Loke, tiada kata-kata atau ubat yang mampu menyembuh derita mereka yang kehilangan keluarga tersayang.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, syarikat penstriman popular, Netflix pada 16 Februari lalu mengumumkan bahawa bakal menerbitkan filem dokumentari yang berjudul MH370: The Plane That Disappeared.

Ia merupakan adaptasi daripada tragedi sebenar yang menimpa pesawat MH370 milik Malaysia.

Menurut Netflix, filem dokumentari itu bakal disiarkan pada 8 Mac (hari ini) sempena ulang tahun kesembilan kehilangan pesawat itu.

Sumber: BernamaAirlines Ratings, Bernama via Astro Awani (1), (2), (3)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?