Siakap Keli
Michelle Yeoh Anugerah Oscar
Gambar: Michael Tran/AFP

Michelle Yeoh Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Oscar

Michelle Yeoh Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Oscar

Amerika Syarikat – Tan Sri Michelle Yeoh berjaya melakar sejarah sebagai wanita Asia pertama yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik bagi anugerah berprestij, Oscar.

Memenangi anugerah itu menerusi filem Everything Everywhere All at Once, Yeoh berjaya menewaskan pelakon Hollywood yang lain.

Ia termasuk Cate Blanchett (Tar), Michelle Williams (The Fabelmans), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Ana de Armas (Blonde).

“Untuk semua kanak-kanak lelaki dan perempuan yang menonton saya pada malam ini, anugerah ini membuktikan bahawa impian besar boleh menjadi kenyataan.

“Dan kepada para wanita, jangan biarkan sesiapa memberitahu anda bahawa anda tidak boleh pergi jauh. Jangan sekali-kali berputus asa,” katanya ketika menerima anugerah itu.

Kemenangannya itu tidak dapat disangkal lagi apabila dia menggunakan semua kemahiran lakonannya.

Dia mempamerkan kehebatan seni mempertahankan diri dalam adegan pertarungan dan menggunakan seluruh emosi dalam filem itu.

Dalam pada itu, filem Everything Everywhere All at Once yang diarahkan oleh Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu dicalonkan dalam pelbagai kategori termasuk Gambar Terbaik.

Terdahulu, pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak ini telah memenangi kategori yang sama di Anugerah Golden Globes, Anugerah Spirit dan Anugerah Screen Actors Guild Awards.

Kredit: AFP

Luahan Michelle Yeoh

Sementara itu, Yeoh juga berharap agar lebih ramai pelakon dari Asia yang dapat bersinar di peringkat lebih tinggi seperti di Hollywood.

“Saya berharap anugerah ini menjadi sebagai batu loncatan agar lebih banyak wajah baru yang muncul di sana (Hollywood),” katanya.

 

Michelle Yeoh
Kredit: AFP

Pengalaman beliau ketika menceburi bidang lakonan 

Ketika ditanya mengenai permulaan kepada karier lakonannya, Yeoh berkata dia pada awalnya sangat meminati dan bahkan mempelajari tarian bellet semasa di England.

Namun begitu, kecederaan belakang menyebabkan beliau memutuskan untuk tidak meneruskan minat itu.

Bagaimanapun, kemahiran tariannya itu juga digunakan untuk berlakon dalam filem aksi bersama Jackie Chan pada pertengahan tahun 1980-an.

Dalam pada itu, Yeoh juga berkata dia akan sibuk dengan penggambaran filem Avatar dan filem adaptasi muzikal, Wicked.

Sumber: AFP 

Ezzatul Syafiqah