Siakap Keli
Kredit: ATM

“Capai Rekod Flight Hours & Flight Cycle Tertinggi,” Ini Antara Keupayaan Aset ATM Boleh Buat Ramai Gerun

Bila bercakap mengenai aset pertahanan yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sudah pastinya ramai yang teruja dan terngiang-ngiang dengan persembahan ketika Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos yang lalu. Namun begitu, ketika itu kita hanya diperlihatkan secara luaran sahaja kemegahan aset-aset berkenaan, tapi artikel ini akan menjelaskan dengan lebih mendalam akan keupayaan aset ATM yang diperolehi pada masa kini.

Terlebih dahulu, Kementerian Pertahanan di bawah Kerajaan Perpaduan telahpun melaksanakan pelbagai inisiatif di mana dapat menjaga warga ATM, di samping mempertingkatkan dan perkasakan kerja pertahanan negara.

Salah satunya adalah melalui perolehan aset strategik ATM. Perolehan aset ini melibatkan ketiga-tiga ketenteraan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perolehan Aset Tentera Darat Malaysia

Bagi memastikan operasi mengawal keselamatan negara lebih terjamin, TDM sentiasa berusaha tingkatkan keupayaan dalam pelbagai aspek termasuk aset pertahanan. Melalui inisiatif Kementerian Pertahanan, TDM telah menerima 9 buah Kenderaan Perisai 8×8 Gempita bagi kelompok terakhir dan menjadikan secara keseluruhan sebanyak 259 unit. Kenderaan ini dilengkapi dengan pelbagai varian mengikut fungsi dan persenjataan yang berbeza.

Kredit: ATM

Bukan itu sahaja, TDM juga telah menerima 1,000 unit VHF Section Set bagi kegunaan pasukan dalam melaksanakan operasi yang lebih berkesan. Peralatan ini merupakan set radio taktikal bagi kegunaan sebuah seksyen infantri.

Permodenan Aset Tentera Laut Diraja Malaysia

Menyentuh mengenai permodenan aset TLDM, KD PERKASA adalah merupakan salah sebuah aset yang kini sedang diusahakan TLDM ke arah modenisasi secara keseluruhan merangkumi struktur utama dan sistem kapal. Untuk makluman, KD PERKASA kini sedang menjalani proses re-hull yang mana ia adalah selari dengan program rutin refit berjadual yang telah direncanakan bagi aset ini. Permodenan KD PERKASA merangkumi permodenan sepenuhnya sistem kuasa gerak kapal, sistem elektrikal, hotel services selain turut merangkumi sistem sampingan yang lain.

Projek yang dilaksanakan oleh Geliga Slipway Sdn Bhd di Kemaman, Terengganu kini menghampiri peringkat akhir bagi Ujian Penerimaan di Laut dan kapal dirancang siap pada pertengahan bulan Mac 2023.

KD PERKASA merupakan salah sebuah kapal dari Skuadron Pembinasa Laju (FastAttack Craft (FAC)) yang disifatkan sebagai workhorse dalam memenuhi keperluan operasi dan eksesais Armada TLDM.

TLDM telah memperkenalkan pendekatan konsep Obsolescence Program (OP) bagi menggantikan pelaksanaan rutin refit ke atas KD PERKASA kerana keadaan semasa struktur dan faktor keusangan peralatannya. Pendekatan ini menjadikan selenggaraan menyeluruh kapal dapat dilaksanakan dengan kos yang lebih rendah. Namun hasil yang setara dengan keperluan operasi semasa kapal.

Tentera Udara Diraja Malaysia

  1. LPM12Y F/A-18D HORNET

Beralih kepada TUDM, sudah pasti ramai yang teruja dengan aset-aset yang sangat canggih dan bergaya apabila merentas langit Malaysia. Untuk pengetahuan anda, antara aset TUDM yang mendapat perhatian dalam inisiatif Kementerian Pertahanan adalah LPM12Y F/A Hornet, di mana program Local Plan Maintenance 12 Years (LPM12Y) dilaksanakan.

Program Senggaraan Planned Maintenance Interval 1 (PMI 1) yang diprogramkan oleh United States Navy di mana senggaraan ini perlu dilaksanakan setiap 12 tahun pesawat beroperasi. Berpandukan perancangan asal, setiap pesawat perlu dihantar ke pihak Original
Equipment Manufacturer (OEM) dan Boeing Defence Australia (BDA) yang dilantik bagi menjalani senggaraan tersebut.

Sebuah pesawat ini yang pertama telah selesai diselenggara pada 5 Januari 2023 sebagai Proof of Concept (POC) bagi program LPM12Y. Program ini dapat mengekalkan kesiagaan semasa aset pesawat pejuang selain dari meningkatkan jangka hayat pesawat serta kompetensi Juruteknik dan juga perkasakan inisiatif bersama Industri Pertahanan Tempatan.

2. RETROFIT A400M

Beralih kepada pesawat angkut Airbus A400M TUDM pula, TUDM merupakan pengendali pesawat A400M yang pertama di rantau Asia dan telah mencapai rekod flight hours dan flight cycle tertinggi berbanding pengendali pesawat A400M yang lain. Perolehan pesawat A400M secara berperingkat mulai tahun 2015 (dua buah pesawat), 2016 (pesawat ketiga) dan 2017 (pesawat keempat) menjadi nadi utama pengangkutan udara bagi ketenteraan Malaysia selain memenuhi keperluan pengangkut taktikal TUDM.

Kredit: FB ATM

Setakat ini, dua pesawat A400M telah selesai menjalani program retrofit bagi meningkatkan keupayaan pesawat dari spesifikasi penerimaan awal ke konfigurasi New Standard Operating Clearance 2.5 (NSOC 2.5).

Penyerahan pesawat A400M TUDM kedua yang selesai program retrofit oleh pihak Airbus Sociedad Limitada (AMSL), Airbus Defence & Space (ADS) dilaksanakan di Sevilla, Sepanyol dan pesawat tersebut telah diterbangkan kembali ke Pangkalan Udara Subang pada 23 Disember 2022. Program Retrofit ini dilaksanakan secara berperingkat mulai dari tahun 2021 dan pesawat ketiga dijangka akan selesai pada 24 November 2023.

Inisiatif Lain Kementerian Pertahanan Melalui Kerajaan Perpaduan

Selain daripada kesiagaan dan perolehan aset, Kementerian Pertahanan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga warga ATM dan meningkatkan pertahanan negara. Antaranya ialah menyalurkan bantuan kepada Veteran ATM melalui Bantuan Sara Hidup (BSH). Sehingga Disember 2022, seramai 8,348 orang veteran ATM telah menerima BSH JHEV ATM.

Inisiatif atau program yang lain pula adalah meluluskan permohonan baikpulih rumah untuk veteran ATM, penganugeran Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran ATM, Majlis Pelancaran Insentif Pendidikan dalam bentuk sijil SSPN kepada anak-anak Veteran ATM, pembangun pos kawalan sempadan bagi menangani jenayah rentas sempadan, meningkat tahap keupayaan industri pertahanan tempatan dan mempromosikan Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA ’23).

Melalui inisiatif yang disenaraikan di atas, pastinya akan ada lagi perancangan dan inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan di bawah Kerajaan Perpaduan kelak.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa