Siakap Keli
islamofobia mesti ditolak
Kredit: BERNAMA

Islamofobia Dan Keganasan Mesti Ditolak – Anwar

Islamofobia Dan Keganasan Mesti Ditolak – Anwar

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Islamofobia dan semua tindakan kebencian serta keganasan terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan mesti ditolak.

Bagi mencapai tujuan itu, beliau berkata Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa secara konstruktif dan kolektif.

“Malaysia dengan sepenuh hati menyertai masyarakat dunia dalam memperingati Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia pada 15 Mac.

“Ini bukanlah suatu hari yang patut diraikan tetapi merupakan hari untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dan keperluan tindakan untuk menangani Islamofobia,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Anwar berkata umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan bulan Ramadan dalam masa terdekat.

Justeru, beliau mengajak rakyat supaya mengamalkan kesederhanaan selaras dengan pelaksanaan Malaysia MADANI dan menolak ideologi ekstremis dalam menyambut bulan mulia itu.

Dirantai & digantung, pihak masjid Stockholm kecam perbuatan pihak cuba hina al-Quran

Sebelum ini, di luar negara Sweden mengutuk serangan terbaru ke atas kemudahannya selepas sebuah Al-Quran ditemui rosak, dirantai dan digantungkan di luar pintu masuk masjid, lapor laman berita AA.

Gambar yang dikongsikan oleh Masjid Pusat Stockholm mengenai perbuatan pada Jumaat lalu telah menunjukkan kitab suci bagi umat Islam yang rosak dirantai dan tergantung pada pagar besi di luar masjid.

Pihak masjid berkata, mereka sering kali menerima ancaman sedemikian.

“Mengikat Al-Quran yang dirosakkan dan menggantungnya pada palang taman di sebelah pintu masjid adalah perbuatan yang keji bagi umat Islam.

“Masjid kami dan jemaah telah menerima ancaman secara meluas. Pihak yang rasis sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan kami umat Islam yang berbeza dengan mereka,” tulis akaun rasmi masjid tersebut di Facebook mereka.

Sebuah kenyataan berkata, masjid memutuskan untuk berkongsi gambar dan maklumat kejadian untuk menarik perhatian jemaah dan orang ramai bagi mengelakkan jenayah kebencian tular dan menjadi normal.

Selain itu, serangan kejadian tersebut bukanlah yang pertama kali berlaku kepada masjid berkenaan. Sebelum ini, masjid tersebut pernah diserang dengan serangan Islamofobia seperti tulisan yang bersifat anti-Islam ditulis di pintu masjid berkenaan.

Sumber: BERNAMA

BACA: ‘Saya Bukan Kelas Ahli Politik Murahan’ – Anwar

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana