Siakap Keli
Bazar Ramadan Menu Rahmah
Gambar: Bernama

Peniaga Bazar Ramadan Disaran Sedia Menu Rahmah – KPDN Kelantan

Peniaga Bazar Ramadan Disaran Sedia Menu Rahmah – KPDN Kelantan

KOTA BHARU — Menjelang ketibaan bulan puasa, peniaga bazar Ramadan di Kelantan disarankan untuk menawarkan Menu Rahmah kepada orang awam, lapor Sinar Harian.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, ia selaras permintaan kerajaan untuk mewujudkan bazar Ramadan Rahmah di setiap negeri.

“Untuk itu setiap bazar perlu ada sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah peniaga menawarkan menu tersebut.

“Ia merupakan inisiatif peniaga kepada pengguna dan di Kelantan. Terdapat tiga lokasi bazar Ramadan yang akan dipilih iaitu sama ada pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Pasir Tumbuh dan Kubang Kerian,” ujarnya ketika sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu hadir di Kota Bharu bagi merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan peringkat Negeri Kelantan hari ini.

Jelasnya, idea itu masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkenaan sehingga kini. Azman menjelaskan bahawa harga bagi setiap Menu Rahmah di bazar Ramadan ialah bermula dari RM5 dan ke bawah.

BACA JUGA: Chatime Antara Francais Terkemuka Mula Tawar Menu Rahmah Serendah RM5

“Bagi peniaga bazar yang berminat boleh membuat pendaftaran dengan pihak KPDN. Ia akan dimasukkan ke dalam portal.

“Selain mendapat promosi percuma peniaga juga akan diberikan banting Menu Rahmah untuk dipamerkan,” maklumnya lagi.

Dalam pada itu, Azman berkata setakat ini sebanyak 115 kedai menawarkan Menu Rahmah di negeri berkenaan. Kota Bharu menjadi lokasi paling banyak menawarkan insiatif yang dijayakan oleh Kerajaan Madani tersebut.

“Walaupun ada segelintir pihak mengatakan ia tidak relevan dengan negeri ini kerana harga makanan di bawah RM5 dilihat biasa, namun sambutan sangat menggalakkan dari peniaga,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Inisatif Menu Rahmah mula diperkenalkan pada 31 Januari lalu, lapor Bernama. Susulan itu, sebanyak 15,000 premis makanan teribat secara langsung dalam menjayakan usaha berkenaan.

Ia bagi memberi kemudahan dan mengurangkan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan kos sara hidup.

BACA JUGA: Ini Antara Lokasi Kedai Menu Rahmah Di Seluruh Negara

Sumber: Sinar Harian 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?