Siakap Keli
tidak cepat koyak perlis
Kredit: BERNAMA

Saya Tidak Cepat ‘Koyak’, Terbuka Terima Teguran Rakyat – MB Perlis

Saya Tidak Cepat ‘Koyak’, Terbuka Terima Teguran Rakyat – MB Perlis

KANGAR,16 Mac  (Bernama) — Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau sentiasa terbuka menerima padangan dan teguran daripada rakyat dan tidak cepat ‘koyak’ demi kebaikan bersama ke arah pembangunan negeri itu.

“Saya baca teguran di kumpulan WhatsApp tapi saya tak tulis (balas), saya tidak pernah koyak pun apabila dikomen yang berbagai-bagai,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang) berhubung perancangan kerajaan bagi menjadikan pandangan dan idea rakyat sebahagian daripada kerangka pembangunan negeri.

Mohd Shukri (PAS-Sanglang) berkata beliau menyertai berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp melibatkan pelbagai komuniti dan akan membaca setiap komen yang diberikan dan menerimanya dengan positif.

Beliau turut menasihati orang ramai agar mengemukakan pandangan dan teguran terus kepada pihak kerajaan negeri atau menerusi wakil rakyat.

“Insya-Allah, kita di kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima apa-apa pandangan daripada rakyat,” katanya dan menambah pandangan rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan di setiap kawasan, sebagai contoh menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam bersama rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menerima permohonan, aduan dan cadangan daripada pelbagai lapisan rakyat menerusi Bahagian Pentadbiran Daerah, selain menerusi Platform Aduan Integriti dan Aduan Awam yang boleh disampaikan melalui email di [email protected] dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

MB Perlis adakan pertemuan dengan Anwar, bincang pembangunan Perlis

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shukri Ramli hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan di sini bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan Perlis.

“(Ini pertemuan) biasa sahaja, (bincang) masalah kerajaan negeri Perlis,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan kepada Bernama selepas pertemuan lebih satu jam itu.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai projek pembangunan di negeri Perlis.

“Pertemuan baik… Alhamdulillah, banyak sokongan daripada Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Anwar tiba di Kementerian Kewangan pada 9.53 pagi bagi memulakan tugasnya disusuli dua timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong yang turut memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Anwar berkata beliau akan ke Kementerian Kewangan hari ini bagi meneliti perkara berkaitan kelulusan projek secara rundingan terus.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.