Siakap Keli
razarudin timbalan ketua polis
Gambar: Bernama

Tan Sri Razarudin Husain Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Tan Sri Razarudin Husain Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

PUTRAJAYA — Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Tan Sri Razarudin Husain @ Abdul Rasid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara selepas bersara bagi tempoh selama dua tahun.

Pelantikan itu mula berkuatkuasa mulai 16 Mac 2023 hingga 15 Mac 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan dari Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong dengan nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Tambah Saifuddin, ia dibuat mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Biodata Tan Sri Razarudin Husain @ Abdul Rasid

Tan Sri Razarudin Husain @ Abdul Rasid, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Karier Sebagai Polis

Selepas itu, beliau telah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen. Razarudin memulakan perkhidmatannya pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai penyiasat.

Beliau terus menabur bakti dalam bidang kepolisian sehingga 1996 dengan Pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.

Kecemerlangannya dalam PDRM diteruskan dengan dilantik sebagai ASP di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Muar sebelum menjadi Ketua Bahagian Pengurusan (1997) di daerah tersebut.

Pada 1998, Razarudin kembali menjadi Pegawai Penyiasat Kanan di jabatan sama di JSJ daerah Muar di Kontinjen Johor.

Pada tahun 2000, beliau ditempatkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung semula pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

BACA JUGA: TERKINI: Datuk Seri Acryl Sani Dilantik Sebagai Ketua Polis Negara Baharu, Berkuatkuasa 4 Mei Ini

Seterusnya, Razarudin telah berkhidmat di JSJ Daerah Kota Setar dan berjaya  dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagaian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Selepas itu, beliau berkelana ke Kudat dengan menjadi Ketua Polis Daerah Kudat selama tempoh tiga tahun.

Razarudin kemudiannya kembali ke Semenanjung di JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superitenden sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana.

Selepas tamat pengajian, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP). Dia telah ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman.

Perkhidmatannya dalam PDRM dilanjutkan dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC) Skuad Taktikal Khas 1 Bukit Aman sebelum merantau ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Beliau juga telah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak selama dua tahun.

Kemudian, Razarudin sekali lagi dinaikkan pangkat Pesuruhjaya Polis sebagai Ketua Polis Perak.

Pada tahun 2020, Razarudin telah menjawat gelaran Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Pada Disember 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Sumber: Kementerian Dalam Negeri 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?