Siakap Keli
konvensyen parti kerajaan
Kredit: BERNAMA

Konvensyen Parti-parti Kerajaan Perpaduan Akan Diadakan, Pastikan Hala Tuju Seiring – PM

Konvensyen Parti-parti Kerajaan Perpaduan Akan Diadakan, Pastikan Hala Tuju Seiring – PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Satu konvensyen bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata konvensyen itu juga antara lain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama dalam parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan rundingan bersama ketua-ketua parti bagi menetapkan masa sesuai untuk kita melaksanakan konvensyen ini nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di sini malam ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pemimpin utama yang hadir sama ialah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

BACA: PM Dan Isteri Sebak Dipertontonkan Petikan Filem ‘Anwar: The Untold Story’

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid dan seluruh kepimpinan UMNO susulan kejayaan yang dilakar pada pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026 yang telah selesai diadakan semalam.

“Ini satu kejayaan yang meyakinkan dan semestinya akan mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Diminta mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan pembahagian kerusi bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri berkata semua perbincangan berjalan lancar ketika ini.

“Perbincangan masih lagi dalam proses, berlangsung baik dan kita akan muktamadkan dalam masa singkat… kita tidak bincang mendalam (malam ini), Jawatankuasa Pilihan Raya Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan terus bincang,” katanya.

Negeri yang terlibat dalam PRN pada tahun ini ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

PM tidak gentar dengan ugutan jatuhkan kerajaan perpaduan

Anwar Ibrahim tidak gentar dengan usaha atau ugutan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau malah yakin ia akan kukuh dan kekal dalam tempoh lima tahun dengan sokongan padu pemimpin parti di bawah pentadbirannya.

Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023, Presiden PKR itu berkata beliau juga tidak takut berhadapan dengan rencana daripada perasuah atau sebarang perhimpunan yang ingin menjatuhkannya sejak menyandang jawatan tersebut November lepas.

“Ini gelanggang saya (Kongres) Parti Keadilan Rakyat, empat bulan saya bersabar. Saya bicara secara teratur, hari ini saya bicara sebagai Presiden PKR, gerakan reformasi. Saudara mahu ugut kita dengan perhimpunan, mahu ugut kita (agar) takut bertindak kepada perasuah, saudara salah pilih seorang Perdana Menteri.

“Saya tak makan ugutan itu, ada kuasa kita laksanakan, (jika) kamu cuba nak rampas (pentadbiran kerajaan) silakan, tapi tidak mudah. Kita siap dengan keris… membujur lalu melintang patah,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana