Siakap Keli
zulkarnain zain hukuman gantung
Gambar: Penang Football Club

Zulkarnain Zain Dikenakan Hukuman Gantung Serta-Merta – FAM

Zulkarnain Zain Dikenakan Hukuman Gantung Serta-Merta – FAM

KUALA LUMPUR —  Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini sebulat suara mengambil keputusan mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta terhadap Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Haji Rahman memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan rasmi FAM.

Insiden membabitkan pengadil itu berlaku sewaktu saingan Liga Super 2023 antara Sabah Football Club (FC) menentang Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat, 17 Mac lalu.

Keputusan sebulat suara telah dibuat dalam pertemuan yang diadakan oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM  yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram semalam.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9,” maklum Noor Azman.

Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bersama ahli jawatankuasa lain telah membuat penelitian menerusi klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

BACA JUGA: Hatrik Bantu City Menang 7-0: “Jujur, Saya Tak Terfikir Pun” – Haaland

Tambah Setiausaha Agong FAM itu, Jawatankuasa Pengadil memandang serius terhadap perkara tersebut.

“Jawatankuasa ini akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil. Ia agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang,” jelasnya lagi.

Sabah Tundukkan Penang FC di Likas

Dalam perlawanan yang berlangsung di  Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu, sebanyak tujuh gol terhasil, lapor Sinar Harian.

Perlawanan itu menyaksikan tuan rumah, The Rhinos unggul membelasah pasukan dari utara tanah air dengan keputusan lima gol berbalas dua.

Kemenangan itu merupakan yang ketiga berturut-turut bagi anak-anak buah Ong Kim Swee dalam saingan liga.

Pasukan Sabah dijangka turun menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 31 Mac nanti. Manakala Penang FC pula bakal berdepan Perak FC di Stadium Bandaraya hari yang sama.

Sumber: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?