Siakap Keli
sistem pembayaran tng
Kredit: BERNAMA

Sistem Pembayaran Terbuka Dalam Pengangkutan Awam Selain TnG Sedang Diusahakan

Sistem Pembayaran Terbuka Dalam Pengangkutan Awam Selain TnG Sedang Diusahakan

SEPANG, 20 Mac (Bernama) — Sistem pembayaran terbuka untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana Malaysia Bhd selain daripada penggunaan Touch ‘n Go, akan dilaksanakan dalam masa beberapa bulan lagi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata sistem pembayaran terbuka akan membolehkan pengguna menggunakan kad kredit atau debit sebagai pembayaran untuk menggunakan pengangkutan awam selain kad Touch ‘n Go.

“Ini untuk memberi pilihan kepada pengguna selain menggunakan Touch ‘n Go,” katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim semalam mengenai monopoli Touch ‘n Go yang mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Plaza Premium Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini, Loke berkata kenyataan perdana menteri itu bukan bermaksud perkhidmatan Touch ‘n Go ditamatkan.

“Kita bukan nak tamatkan Touch ‘n Go, jangan kata macam kita nak bunuh Touch ‘n Go. Cuma Touch ‘n Go akan menjadi salah satu (pembayaran) daripada satu-satunya sekarang,” katanya dan menambah pengguna juga merungut kerana tidak diberi pilihan dalam pembayaran untuk pengangkutan awam dan lebuh raya.

BACA: Kerajaan Saran Tukar Nama Kad Visa TnG Untuk Elak Kekeliruan

Loke berkata perdana menteri telah memberi arahan supaya perkara itu dibincangkan dalam Kabinet dan ia memerlukan penyelesaian segera supaya membuka ruang kepada sistem pembayaran yang lain.

Untuk pengangkutan awam, katanya beliau telah mengarahkan agensi termasuk operator di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka.

Loke berkata Prasarana telah diarah melaksanakan sistem pembayaran terbuka dan mereka memerlukan masa untuk mengintegrasikan sistem.

Sistem pengangkutan awam di bawah Prasarana termasuklah perkhidmatan bas, Transit Aliran Ringan (LRT), dan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).

Kad debit, kredit boleh diguna di lima lebuh raya tahun ini

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesahkan sistem pembayaran tol di beberapa lebuh raya utama kini boleh dibayar menggunakan kad debit dan kredit menjelang September ini.

Dalam satu hantaran Facebook, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan sistem pembayaran terbuka (open payment system) merupakan inisiatif awal yang dilakukan oleh pihaknya.

Daya usaha itu juga adalah peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

“Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-Wallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch ‘n Go,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana