Siakap Keli
Bandar Bahagia Malaysia
Gambar: Bernama

Kajian Dedah Petaling Jaya, Manjung Dan Kluang Antara Bandar Paling Bahagia Di Malaysia

Kajian Dedah Petaling Jaya, Manjung Dan Kluang Antara Bandar Paling Bahagia Di Malaysia

PUTRAJAYA — Bersempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia pada 20 Mac yang disambut setiap tahun, bandar raya Petaling Jaya, Manjung, dan Kluang telah diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2022 di Malaysia.

Selain tiga bandar di atas, turut berada dalam senarai termasuklah bandar Gua Musang, Klang, Kulai, Krai, Kuantan, Rompin dan Alor Gajah. Kesemua bandar ini telah dipilih sebagai bandar paling bahagia menerusi Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2022.

Kajian ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Dalam kajian ini, ukuran umum bagi indeks kebahagiaan terhadap tahap kesejahteraan penduduk meliputi aspek kesihatan, kesejahteraan, mental dan fizikal.

Penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur adalah aspek utama yang menyumbang kepada tahap kebahagiaan.

Ia juga berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh Pihak  Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk M. Noor Azman Taib, seramai 117 PBT terlibat dengan jumlah 42,000 responden yang dijalankan.

“Daripada kajian itu, kita dapati 79 peratus atau 92 bandar mencapai status mampan dengan skor melebihi 80 peratus sementara 25 bandar (21 peratus) mencatatkan peratus sederhana bahagian dengan skor antara 50 dan 79 peratus,” maklumnya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan ucapan pada majlis perasmian Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2023 semalam.

BACA JUGA: Malaysia Duduki Tangga Ke-8 Dunia Dalam Senarai Negara Paling ‘Stress’ Untuk Memandu

Jelas M Noor Azman lagi, Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia atau MURNInets yang bertanggungjawab menjalankan pengukuran indeks Kebahagiaan di Malaysia.

“MURNInets merupakan satu sistem di bawah seliaan PLANMalaysia bagi mengukur kemampanan kawasan PBT di Malaysia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka secara rasminya diiktiraf sebagai bandar paling bahagia di Malaysia untuk tahun 2021.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia) dalam satu kenyataan.

Difahamkan, ketiga-tiga negeri tersebut mencapai skor melebihi 80 peratus. Ia merupakan skor penuh ‘Bahagia’ dalam Kajian Indeks Kebahagiaan 2021.

Tambahan lagi, PBT ketiga-tiga negeri itu turut mencatatkan skor Bahagia penuh. Ia bagi seluruh kawasan yang dinilaikan, Perlis (satu), Negeri Sembilan (tujuh) dan Melaka (empat).

Sumber: Astro Awani

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?