Siakap Keli
maszlee pensyarah universiti cyberjaya
Gambar hiasan: Bernama

Kembali Dunia Akademik, Maszlee Malik Dilantik Pensyarah Universiti Cyberjaya

Kembali Dunia Akademik, Maszlee Malik Dilantik Pensyarah Universiti Cyberjaya

Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik dilaporkan kembali ke dunia akademik sebagai tenaga pengajar selepas beberapa tahun meninggalkan bidang tersebut.

Berdasarkan perkongsian di laman media sosial miliknya pada hari ini, difahamkan beliau dilantik menjadi pensyarah di Universiti Cyberjaya.

Berita gembira itu dikongsi olehnya di laman Instagram, di mana beliau menzahirkan rasa syukur terhadap pelantikannya sebagai pensyarah di universiti berkenaan.

Kredit: Instagram Maszlee Malik

“Kembali mengajar. Terima kasih University of Cyberjaya atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya akan mengajar berkaitan dengan kemanusiaan dan pendidikan,” katanya dalam satu hantaran pada hari ini.

Imbas kembali, Maszlee pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan ketika era kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 lalu.

BACA: Polis Panggil Dr Maszlee Selepas Jadi Saksi Serahan Memorandum Kepada SPRM

Latar belakang Maszlee Malik

Seperti yang pernah dilaporkan media pada 2018, ahli parlimen Simpang Renggam itu pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau sebelum itu memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya.

Difahamkan, Maszlee mempelajari bidang Fiqh dan Usu al-Fiqh bagi kedua-dua ijazah tersebut.

Dalam pada itu, Maszlee turut melanjutkan pengajiannya di School of Governments and International Affairs di Universiti Durham, United Kingdom pada 2007.

Pada 2011, beliau mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang “Good Governance”.

Lapor Awani, Maszlee juga pernah menjawat jawatan presiden ketujuh UIAM yang berpusat di Gombak, Selangor.

Menerusi kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Maszlee merupakan calon yang ideal kerana mempunyai pengalaman yang luas mengenai persekitaran universiti itu sendiri.

Beliau juga pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak-hak dan menjamin kebajikan para pensyarah.

Skrip kontroversi drama siri ‘Kudeta’

Beberapa bulan lepas, Maszlee mencetuskan kontroversi susulan skrip drama siri Kudeta yang dikatakan ‘kurang enak’ oleh warganet.

Beliau berkata keberkesanan filem dan drama dalam menyampaikan mesej yang baik terhadap masyarakat tidak perlu sehingga menyinggung sensitiviti mahupun budaya.

“Secara peribadi, saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak perdana menteri jahat dipenjara yang telah menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya yang telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua,” memetik kenyataannya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan, nasihat sama ada secara peribadi mahupun umum.

“Moga Allah ampunkan segala kesilapan saya dan himpunkan kita semua dalam kebaikan,” tambahnya.

Klip tersebut tular di media sosial dan ramai yang mendakwa skrip itu mempunyai unsur berbaur sensitiviti yang dipercayai menyentuh hal sulit kaum wanita.

Sumber: Maszlee/Instagram

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana