Siakap Keli
gol akhyar harimau malaya
Kredit: BERNAMA

Gol Muhammad Akhyar Bantu Harimau Malaya Atasi Turkmenistan 1-0

Gol Muhammad Akhyar Bantu Harimau Malaya Atasi Turkmenistan 1-0

ISKANDAR PUTERI, 23 Mac (Bernama) — Skuad Harimau Malaya memanfaatkan peluang julung kali beraksi di stadium terbaik di negara, apabila menewaskan Turkmenistan 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.

Ini kemenangan kedua Malaysia ke atas Turkmenistan dalam tempoh sembilan bulan, selepas menumpaskan skuad “The Green” 3-1 dalam pertemuan sulung di pentas antarabangsa, pada aksi Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jun tahun lepas.

Pada pertembungan di gelanggang keramat gergasi Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, pemain sayap Harimau Selatan Muhammad Akhyar Abdul Rashid muncul wira pasukan bimbingan Kim Pan Gon, apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa pertama.

Kredit: BERNAMA

Di sebalik berhadapan permainan keras dan laju pihak lawan, anak buah Kim Pan Gon tetap menyajikan aksi memberangsangkan, menerusi gerakan cantik dan percubaan berbahaya bermula tandukan pemain naturalisasi Paulo Josue, yang diselamatkan penjaga gol Rasul Charyyev minit ke-23.

Charyyev yang layak diberi pujian atas persembahan baiknya, sekali lagi bertindak cemerlang menepis sepakan percuma kapten negara Dion Cools pada minit ke-26, namun tertewas dengan rembatan Muhammad Akhyar yang melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-29, untuk meledak gol pembukaan.

BACA: TMJ Tak Minat Jadi Pengurus Harimau Malaya – Hamidin

Penjaga gol berusia 23 tahun itu, kemudian menyelamatkan dua percubaan berturut-turut masing-masing oleh Muhammad Akhyar dan Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-35, sekali gus memastikan gawangnya tidak dibolosi kali kedua.

Tiga minit berselang, Turkmenistan di bawah bimbingan pengendali baharu Mergen Orazov hampir memperoleh gol penyamaan, namun penjaga gol negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menepis percubaan Ruslan Mingazov, sebelum Cools menghalang rembatan susulan Didar Durdyyev.

Ahmad Syihan membuktikan kehebatannya, apabila menepis tandukan dari jarak dekat Durdyyev seminit selepas babak kedua bersambung, sebelum Muhammad Akhyar terlepas peluang menjadikan kedudukan 2-0, apabila sepakan guntingnya tepat ke arah Charyyev pada minit ke-48.

Pasukan negara yang mendapat sokongan 5,104 penyokong di sini, terus kempunan meraih gol kedua apabila percubaan berturut-turut Mohamad Faisal dalam kotak penalti, dinafikan Charyyev pada minit ke-72 sekali gus menyaksikan pemain sayap itu terus melalui kemarau gol.

Di penghujung perlawanan, Ahmad Syihan dipaksa bekerja keras mengawal gawang daripada asakan bertali arus Turkmenistan, namun kedudukan kekal sehingga wisel dibunyikan pengadil dari Singapura Ahmad A’qashah Ahmad Al’Dawoe.

Perlawanan malam ini menyaksikan Pan Gon memberi peluang kepada lima pemain untuk membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa iaitu Josue, Endrick Dos Santos, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, Muhamad Feroz Baharudin dan Nooa Laine.

Ini kali pertama pasukan negara bermain di Stadium Sultan Ibrahim, selepas kali terakhir beraksi di Johor pada kempen Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2017.

Selepas ini, pasukan negara akan menentang Hong Kong pada 28 Mac di sini, pada penghujung jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kelayakan Piala Asia: Malaysia Mula Langkah Kanan, Berjaya Jinakkan Turkmenistan 3-1

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana