Siakap Keli
Malaysia Juara Piala Merlion
Gambar: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Malaysia Juara Piala Merlion, Benam Hong Kong 2-1

Malaysia Juara Piala Merlion, Benam Hong Kong 2-1

Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara berjaya membenam Hong Kong 2-1 pada aksi akhir Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar, Singapura sebentar tadi.

Turun di pentas akhir, Malaysia tidak gentar dengan cabaran yang dibawa pihak lawan. Tambahan lagi, skuad pelapis negara berjaya menampilkan corak permainan yang cukup meyakinkan dengan mendominasi perlawanan.

Beberapa serangan berbahaya berjaya dijelmakan oleh anak-anak buah E. Elavarasan.

Pada minit ke-11 skuad B-22 kebangsaan hampir membuka tirai gol menerusi Adam Farhan. Bagaimanapun, palang gol Hong Kong menidakkan gol pertama negara.

Pada minit ke-21 penyerang, Haqimi Azim Rosli berjaya meletakkan bola ke gawang lawan. Namun jaringan tersebut dibatalkan oleh penjaga garisan akibat offside.

BACA JUGA: Gol Muhammad Akhyar Bantu Harimau Malaya Atasi Turkmenistan 1-0

Rembatan luar kotak penalti Safwan Mazlan pada penghujung babak pertama juga hampir-hampir mengejutkan penjaga gol lawan.

Walau bagaimanapun, pasukan Hong Kong berjaya menyerap tekanan dan serangan yang diberikan oleh pasukan muda negara. Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang jaringan.

Kembali pada babak kedua, gol pertama Malaysia sekali lagi dinafikan oleh pengadil perlawanan pada minit ke-58 susulan offside.

Penjaga gol Hong Kong, Ng Wai Him bertindak cemerlang apabila menyelamatkan percubaan Safwan Mazlan pada minit ke-65.

Gol yang dicari-cari oleh skuad negara hadir menerusi tandukan Najmudin Akmal pada minit ke-75. Gol tersebut nyata membakar semangat anak-anak buah E. Elavarasan selepas Safwan Mazlan meledak jaringan cantik (gol kedua) tiga minit kemudian.

Dalam serangan bertali arus pasukan negara, Hong Kong berjaya merapatkan defisit jaringan hasil kesilapan penjaga gol negara, Rahadiazli pada minit ke-80.

Sementara itu, pada penghujung babak perlawanan, Hong Kong cuba meningkatkan intensiti perlawanan dengan beberapa serangan yang menggugat gawang kebangsaan.

Perlawanan semakin tegang dengan dicemari insiden pergaduhan pada lewat permainan. Ia menyaksikan Haqimi Azim dan pemain dari Hong Kong dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun, keputusan itu sudah cukup untuk Malaysia mengesahkan muncul juara bagi Piala Merlion 2023 buat kali pertama sejak 41 tahun ia diperkenalkan.

Sumber: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?