Siakap Keli
Solat Tarawih Times Square
Gambar: TikTok @haseebkarim

Bandar New York Jadi Saksi, Umat Islam Tunai Solat Tarawih Di Times Square 

Bandar New York Jadi Saksi, Umat Islam Tunai Solat Tarawih Di Times Square 

Seperti yang diketahui, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan suci ini. Tambahan lagi, umat Islam pada bulan ini berlumba-lumba untuk mendekatkan diri dengan Maha Pencipta.

Hal ini kerana pelbagai ganjaran dan peristiwa yang berlaku dalam Ramadan seperti turunnya kalam Allah dan malam Lailatul Qadar.

Istimewanya bulan ini, adalah orang ramai dapat menunaikan solat Tarawih. Solat ini hanya dilakukan oleh kaum muslimin dan muslimat sewaktu menyambut bulan yang mulia ini.

Oleh itu, kita dapat menyaksikan kebanyakan masjid dan surau-surau dipenuhi para jemaah yang hadir. Dalam masa yang sama ia dapat mengeratkan silaturahim antara saudara Islam.

Bagaimanapun, sebuah video yang dimuat naik oleh @haseebkarim di platform TikTok baru-baru ini mencuri tumpuan ramai.

Dalam klip rakaman itu mendedahkan umat Islam di bandar raya New York, Amerika Syarikat sedang menunaikan solat Tarawih. Menariknya, ia dilakukan di kawasan terbuka (perkarangan) bandar tersebut.

Solat Tarawih Times Square

@haseebkarim

Taraweeh at Times Square Masha’Allah #taraweeh #ramadan #muslim #nyc

♬ original sound – haseeb

Difahamkan, klip berdurasi seminit 17 saat itu dirakam di Times Square, New York. Walaupun dikelilingi pelbagai bangunan pencakar langit dan paparan skrin gergasi namun ia tidak menghalang mereka menunaikan solat secara berjemaah.

Orang ramai dari pelbagai bangsa yang dipercayai melalui kawasan tersebut mendirikan solat sunat itu. Kaum muslimat juga tidak terlepas untuk turut menunaikan solat secara berjemaah di saf belakang.

BACA JUGA: Tujuh Pemain Terbaik Pernah Sarung Jersi Nombor Ikonik 7

Para jemaah dilihat tenang menunaikan ibadah itu walaupun dikelilingi orang ramai yang lalu-lalang di bahagian tepi laluan pejalan kaki. Tambahan lagi, alunan ayat suci Al-Quran juga jelas dilontarkan oleh Imam.

Dalam pada itu, sesetengah pengguna media sosial berasa kagum dengan umat Islam yang mendirikan solat itu di tengah-tengah bandar.

Sebahagian mereka menyifatkan umat Islam di bumi Amerika itu hebat walaupun berada dalam kesibukan bandar masih mampu mendekatkan diri kepada Pencipta.

Setakat ini, video yang dikongsikan telah mendapat lebih 2.7 juta tontonan dan lebih 410,000 tanda ‘Suka’ serta lebih 8,000 komen pengguna.

Sebagai Dakwah 

Solat tarawih di Times Square itu bukanlah kali pertama dianjurkan. Pada tahun 2022, ratusan umat Islam di Amerika Syarikat mendirikan solat tarawih secara berjemaah di perkarangan itu, lapor CBS New York.

Laungan takbir ibadat itu telah melakar sejarah lebih-lebih lagi ia diadakan seawal Ramadan pertama.

Menurut penganjur solat tarawih tersebut, tujuan ia dilakukan di tengah-tengah jalan bandar raya kerana sebab-sebab tertentu yang bermotifkan dakwah.

Jelasnya lagi, ia secara tidak langsung menerapkan nilai-nilai perpaduan dan dakwah tanpa kekerasan terhadap orang ramai.

Sumber: TikTok @haseebkarim

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?