“Mungkin Ramai Tak Tahu,” Abang Ni Kongsi Cara Guna ATM Bersuara Untuk OKU Penglihatan
Umum mengetahui, manusia diciptakan berbeza-beza, ada yang dilahirkan dengan bentuk badan yang sempurna namun ada juga yang sebaliknya.
Disebabkan itu, di dunia ini mempunyai pelbagai kemudahan yang tidak hanya menumpukan kepada golongan majoriti tetapi minoriti juga diberikan perhatian penuh.
Kemudahan yang disediakan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) adalah seperti tempat letak kenderaan, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan sebagainya.
Penyediaan itu dibuat untuk membantu dan memudahkan urusan golongan OKU menjalani kehidupan seperti yang lain.
Baru-baru ini, tular satu video di mana seorang lelaki (@Ibk2907) menjelaskan langkah-langkah penggunaan mesin ATM bersuara buat golongan OKU.
Lelaki yang dikenali sebagai Loh Boon Keat itu merupakan seorang yang mempunyai kecacatan penglihatan dan bergiat aktif dalam membuat video informasi mengenai OKU.
Dalam video tersebut, Loh dibantu oleh seorang lelaki yang merakam cara-cara penggunaan mesin itu yang terletak di Hong Leong Bank di Brickfields, Kuala Lumpur.
“Hari ini saya nak kongsikan tentang ATM yang bersuara, mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang ATM yang bersuara yang ada dekat Malaysia ini,” katanya dalam video tersebut.
Difahamkan, mesin ATM tersebut dihasilkan untuk golongan tersebut di mana di bahagian jubin juga telah ditambah tack tiles, yang biasa digunakan oleh mereka.
Label visual impairment friendly di mesin ATM turut diletakkan supaya orang lain tidak menggunakan mesin tersebut.
“Mesin ATM ini tiada beza dengan mesin yang biasa cumanya ia ada tempat untuk audio jet.
“Pengguna boleh pasang earphone atau fon telinga kecuali jenama Apple, ia tidak berbunyi jika pasang so be careful,” jelasnya.
Loh juga menggunakan pembesar suara dalam video tersebut agar orang ramai jelas dengan cara penggunaan mesin tersebut.
Jelasnya, orang ramai dikehendaki untuk menggunakan pad nombor untuk mesin itu dan tidak menekan di skrin paparan.
“Mesin ini juga terhad, di mana ia menyediakan perkhidmatan seperti semak baki dan pengeluaran duit.
“Pemindahan wang tidak boleh dilakukan di sini,” ujarnya.
Cara guna ATM bersuara
Bagi mengetahui cara penggunaan mesin bersuara, sila ikuti langkah-langkah di bawah ini.
Pertama sekali, pengguna perlu mengeluarkan kad bank dan earphone untuk menggunakan mesin itu.
Kemudian, ambil earphone tersebut dan cucuk di bahagian audio jet. Orang ramai juga boleh kawal kelantangan suara yang terletak bersebelahan dengan tempat itu. Setelah itu, pilih bahasa yang diingini.
Selepas mendengar arahan yang diberikan, pengguna perlu memasukkan kad bank di tempat yang disediakan.
Seterusnya, masukkan pin dengan menekan pad nombor dan pengguna boleh membuat dua pilihan yang disediakan oleh mesin itu.
Mesin tersebut kemudiannya akan memberi arahan iaitu tekan 1 untuk pertanyaan baki dan tekan 2 untuk pengeluaran wang.
Sekiranya memilih untuk pengeluaran wang, pengguna perlu pilih daripada akaun ‘Semasa’ atau ‘Simpanan’.
Pengguna harus memasukkan jumlah yang diingini dan telah selesai.
“Kalau kata kita nak guna lagi, kita perlu cabut (earphone) dan pasangkan semula,” katanya.
Bagi sesiapa (OKU) yang ingin mencuba mesin ATM bersuara tersebut, boleh pergi ke Hong Leong Bank di Brickfields, Kuala Lumpur.
@lbk2907 Inilah satu-satunya ATM machine yang ada voice guidance yang boleh digunakan oleh Blind Visually Impaired person di Malaysia.
Sumber: @Ibk2907/TikTok
BACA: Pelajar Sekolah, OKU Nikmati Perjalanan Percuma KTMB Menerusi Pas MyRailLife