Siakap Keli
mi segera ethylene oxide
Gambar: KKM

KKM Arah Dua Produk Mi Segera Ditarik Balik Dari Pasaran

KKM Arah Dua Produk Mi Segera Ditarik Balik Dari Pasaran

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan dua produk Mi segera iaitu Mi Kari Putih Penang Alai dan Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial ditarik balik secara sukarela dari pasaran tempatan.

Arahan tersebut dikeluarkan susulan daripada Pihak Berkuasa Taiwan mengesan ethylene oxide terdapat di dalam kedua-dua produk tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata, ethylene oxide digunakan untuk membunuh makhluk perosak serta bahan pencuci.

“Ethylene oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Baca: Rezeki Ramadan, Tengah ‘Shopping’ Raya Ada Yang Tawar X70 Percuma

“Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan,” ujarnya.

Susulan daripada itu, KKM mengarahkan Mi Kari Putih Penang Ah Lai bagi batch yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 ditarik balik secara sukarela dari pasaran tempatan.

Menurut KKM, langkah itu diambil bagi memastikan kawalan keselamatan yang berterusan walaupun pensampelan produk tersebut didapati mematuhi perundangan.

“Bagi sampel Mi Kari Putih Penang Alai, pensampelan di Malaysia mendapati ianya mematuhi perundangan.

“Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Alai bagi batch yang berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada,” tulis KKM dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengesahkan bahawa KKM telah mengesan kemasukan produk Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran negara Indonesia ke negara ini.

“Dalam hal ini, KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, hasil pemantauan dari tahun lepas, pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengesan 11 sampel produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia mengandungi ethylene oxide.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap telah mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

Walaupun begitu, tindakan telah diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pengguna.

“Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran,” jelasnya.

Sumber: KKMalaysia

Aqmal Ezany

I write what is right