Siakap Keli
kawasan cuaca panas Malaysia
Gambar: Bernama

Cuaca Panas: 15 Kawasan Di Seluruh Malaysia Berada Pada Tahap Berjaga-Jaga

Cuaca Panas: 15 Kawasan Di Seluruh Malaysia Berada Pada Tahap Berjaga-Jaga

KUALA LUMPUR — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 15 kawasan di Malaysia berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) akibat cuaca panas yang melanda negara.

Maklum MetMalaysia, 12 kawasan daripadanya adalah di Semenanjung. Sementara itu, dua kawasan di Sabah dan satu di Sarawak juga dikesan mengalami cuaca panas.

“Terdapat 12 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga).

“Ia termasuk di Pasir Mas, Padang Terap, Kuala Muda, Baling, Bandar Baru, Hulu Perak, Selama, Matang dan Larut, Kinta, Manjung, Batang Padang, Kuala Selangor dan Jempol.

“Manakala terdapat dua kawasan di Sabah berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Beaufort dan Kinabatangan.

“Terdapat 1 kawasan di Sarawak berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu di Mukah,” lapor MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah MetMalaysia, suhu harian cuaca pada tahap berjaga-jaga itu boleh mencapai maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius. Fenomena itu diramal berlarutan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berada di kawasan terdedah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti strok haba.

BACA JUGA: Elak Strok Haba, Ini 6 Perkara Anda Kena Buat Ketika Cuaca Panas

Pada 7 Mei lalu, Negeri Johor dilapor telah mengarahkan seluruh sekolah di negeri itu menangguhkan seketika semua aktiviti luar bilik darjah, lapor Bernama.

Ia susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh, kerajaan negeri kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah mengeluarkan notis tersebut dua hari sebelum itu.

Tambahnya, ia bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini berlaku. Oleh itu, aktiviti seperti merentas desa dan sebagainya perlu ditangguhkan.

“Di Johor, saya telah memaklumkan kepada JPNJ. Ia agar semua program luar melibatkan sukan dan sebagainya ditangguhkan sementara.

“Kita tidak mahu ambil apa-apa risiko dengan keadaan cuaca panas ketika ini dan memandang serius kerana mahu mengelakkan daripada kes (strok haba) berlaku di Johor,” jelasnya sewaktu di Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana 2023 di Dewan Felda Lok Heng Barat.

Jelas Norlizah, sekiranya pihak sek0lah mahu meneruskan aktiviti luar, perlu memaklumkan kepada JPNJ terlebih dahulu untuk dinilai.

“Setakat ini tiada sekolah yang ingin meneruskan aktiviti luar. Tetapi bagi sekolah yang hendak buat juga perlu maklum kepada JPNJ terlebih dahulu.

“Kita akan lihat dahulu sama ada boleh atau sesuai untuk dibuat berdasarkan keadaan cuaca di sesuatu tempat itu,” katanya.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?