Siakap Keli
belajar memandu dari youtube
Kredit Sinar Harian

Kanak-Kanak Enam Tahun Pandu Kereta Sehingga Terbabas Dedah Belajar Cara Memandu Dari YouTube

Kanak-Kanak Enam Tahun Pandu Kereta Sehingga Terbabas Dedah Belajar Cara Memandu Dari YouTube

Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu sebuah kereta sebelum terlibat dalam kemalangan di Langkawi pada Selasa lalu dikatakan telah mempelajari cara memandu dari YouTube, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, perkara itu telah diakui sendiri oleh kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak itu mendedahkan bahawa dia tahu cara membawa kereta dengan melayari YouTube serta melihat cara pemanduan bapanya.

Siasatan turut mendapati bahawa tiada simulator yang digunakan untuk kanak-kanak itu berlatih memandu di rumahnya.

“Mengenai video tular mendakwa kanak-kanak tersebut berlatih menggunakan simulator di rumah, siasatan pihak polis mendapati tidak ada simulator di rumahnya.

“Gambar tular tersebut bukan gambar kanak-kanak yang memandu kereta Vios sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya lagi, setakat ini pihak polis juga telah merakam keterangan daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut.

“Selain itu lima individu lain yang merupakan saksi kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Mereka terdiri daripada tiga saksi di tempat kejadian, datuk kanak-kanak itu dan seorang lagi anggota polis yang tiba di tempat kejadian,” katanya.

Kanak-kanak dirujuk ke CIC

Kata Shariman, kanak-kanak itu juga kini dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (Child Interview Centre – CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. Tindakan itu dibuat bagi mendapatkan keterangan menyeluruh daripada kanak-kanak tersebut berkaitan kejadian tersebut.

Setakat ini, kertas siasatan berhubung kejadian dilaporkan hampir siap dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar sebaik laporan perubatan hospital diterima.

Sebelum ini, media melaporkan berkenaan penemuan dua beradik oleh orang awam di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas terbabas melanggar tiang lampu.

BACA: Budak 6 Tahun Pandu Kereta Bawa Adik Terbabas

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada jam 11.15 malam, Selasa lalu.

Akibat kejadian itu, kanak-kanak berusia enam tahun tersebut mengalami kecederaan luka di bahagian dagu. Manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian kemalangan itu kemudiannya dikaitkan dengan unsur mistik sebelum ia dinafikan oleh pihak polis. Polis mengesahkan bahawa kanak-kanak itu tahu cara untuk mengendalikan kereta tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka