Siakap Keli
Judi Ketua Polis Daerah
Gambar: Bernama

Judi: Ketua Polis Daerah Diberi Amaran, Jangan Jadikan ‘Aku Janji’ Sebagai Kertas Tisu

Judi: Ketua Polis Daerah Diberi Amaran, Jangan Jadikan ‘Aku Janji’ Sebagai Kertas Tisu

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Ketua polis daerah di seluruh negara diingatkan jangan jadikan ‘Surat Aku Janji’ tiada sebarang aktiviti judi di daerah pentadbiran masing-masing sebagai ‘kertas tisu’, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata ini kerana ini beliau menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan ketua polis daerah kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila diminta untuk menghantar Task Force D7 JSJ Bukit Aman bagi mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

“Sepatutnya semua OCPD yang setiap bulan menandatangani Aku Janji tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing berpegang teguh kepada Aku Janji itu.

“Janganlah Aku Janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu, yang tiada nilai dan tiada lagi amaran diberi,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ayob Khan meminta setiap ketua polis daerah perlu ada keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang antara kepentingan diri serta kepentingan umum.

“Apabila ketua polis daerah menandatangani Surat Aku Janji maknanya dia kena laksanakan tanggungjawabnya.

“Membanteras perjudian ini makan masa dan judi ini ada pelbagai jenis judi seperti judi dalam talian dan judi nombor ekor, selain modus operandi mereka yang berubah-ubah,” katanya.

BACA JUGA: Lokasi Judi Sabung Ayam Diserbu, Tujuh Lelaki Ditahan

Ayob Khan berkata beliau telah memberi arahan kepada semua ketua jabatan JSJ dan ketua bahagian JSJ di peringkat kontinjen serta daerah untuk memastikan operasi banteras perjudian berterusan.

“Bukan saya masuk JSJ (sebagai Pengarah JSJ) hari ini, esok perangi kegiatan perjudian telah habis. Ia perlu ada koordinasi mantap bersama Pihak Berkuasa Tempatan dan Tenaga Nasional Berhad,” katanya.

Beliau berkata ketua polis daerah perlu memainkan peranan penting dan jangan menunggu Bukit Aman untuk mengambil tindakan jenayah.

Ayob Khan berkata beliau ada menubuhkan task force kecil JSJ bagi memantau sebarang jenayah di seluruh kontinjen polis negeri dan daerah.

“Task force berkenaan baru ditubuhkan dan mereka ini akan turun padang memantau penugasan polis kontinjen negeri dan daerah, fokus task force ini bukan hanya judi malah semua jenis jenayah,” katanya.

Beliau berkata kekurangan pemantauan dan penyeliaan di peringkat polis kontinjen negeri dan daerah menyebabkan kegiatan judi haram masih berleluasa.

“Saya akan turun secara mengejut untuk membuat pemeriksaan dan saya takkan hantar task force ke semua kontinjen dan daerah.

“Kami akan buat pemeriksaan mengejut kalau ada maklumat mereka tidak ambil tindakan dan saya akan kenakan tindakan tatatertib kepada ketua polis daerah sebab ‘Aku Janji’ sudah ada,” katanya.

Terdahulu, bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Shuhaily menggantikan Datuk Azmi Abu Kassim yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Mohd Shuhaily berkata beliau berhasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota yang ingin didiami dan ingin dikunjungi oleh bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga buat masyarakat di luar negara.

“Saya mengambil keseluruhan kebaikan, yang buruk dan hodoh Kuala Lumpur dan mari kita merancang bersama, menyusun strategi bersama untuk menjadikan Kuala Lumpur (bandar raya) yang hebat.

Sumber: BERNAMA 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?