Siakap Keli
Kaki Kanak-Kanak Tersepit Eskalator
Gambar: Bomba

Kaki Tersepit Eskalator, Budak Lelaki Tiga Tahun Berjaya Diselamatkan

Kaki Tersepit Eskalator, Budak Lelaki Tiga Tahun Berjaya Diselamatkan

KLUANG — Kaki kanak-kanak lelaki tiga tahun dilaporkan tersepit di tangga bergerak (eskalator) dalam kejadian di pusat beli belah Kluang Mall semalam.

Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki terbabit berjaya diselamatkan dengan bantuan pasukan bomba, lapor Sinar Harian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Noorhakim Nordin berkata, pada jam kira-kira 3.47 petang, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

“Sebaik mendapat panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dengan kekuatan seramai sembilan anggota dihantar ke lokasi.

“Sejurus tiba ke Kluang Mall, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kaki mangsa tersepit di eskalator berkenaan.

“Mangsa sebelum itu berjaya diselamatkan oleh pengawal keselamatan di situ sebelum PKO tiba ke lokasi,” maklumnya.

Kata Noorhakim, operasi menyelamatkan mangsa selesai pada jam kira-kira 3.55 petang.

Sebelum ini, insiden tersebut tular di media sosial Facebook.

BACA JUGA: Ini Sejarah Penciptaan Eskalator & Fakta Mengenainya Yang Ramai Tak Tahu

Imbas kembali, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersepit dalam eskalator di sebuah pusat beli belah pada tahun lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa menuruni eskalator itu dari tingkat dua bersama ibu bapanya.

Bagaimanapun, pada jam kira-kira 1.30 tengah hari, kaki kanannya secara tiba-tiba masuk dan tersepit di bahagian tepi eskalator berkenaan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.48 tengah hari berhubung insiden itu.

Susulan itu, seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” ujarnya sewaktu dihubungi.

Terdengar Jeritan Kuat

Sementara itu, seorang saksi yang ingin dikenali sebagai Nurul menjelaskan dia terdengar jeritan yang sangat kuat. Kemudiannya, dia mendapati seorang kanak-kanak tersepit pada eskalator.

“Keadaan memang panik, nasib baik ada yang segera menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator itu. Kanak-kanak itu menangis hampir satu jam sebelum pihak bomba datang mengeluarkan kakinya yang tersepit” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?