Siakap Keli
PAS Annuar Musa
Gambar: Facebook Tan Sri Annuar Musa

“Itu Asas Yang Saya Pilih,” Annuar Musa Jelaskan Sebab Sertai PAS

“Itu Asas Yang Saya Pilih,” Annuar Musa Jelaskan Sebab Sertai PAS

KUALA LUMPUR — Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata beliau secara ikhlas memilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai wadah terbaharu dalam perjuangannya.

Beliau berkata demikian dalam dalam satu siaran langsung yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi.

Jelas bekas ahli Parlimen Ketereh itu, terdapat beberapa elemen penting yang dinilai olehnya dalam membuat pemilihan sesebuah parti.

“Seperti yang saya kata pertama, politik ini adalah satu tuntutan Fardu Kifayah. Kedua, kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT atas jalan dan pilihan yang kita lakukan.

“Maka asas-asas syariat tidak boleh ditinggalkan dalam membuat penilaian untuk memilih sesuatu parti yang nak dijadikan landasan perjuangan.

“Bukan soal parti, kita bukan berjuang untuk mempertahankan partinya. Kita berjuang untuk mempertahankan agama dan kepentingan bangsa dan negara.

“Parti itu adalah sebagai alat tetapi kita memilih alat yang selari dengan tuntutan syariat,” jelas Annuar.

BACA JUGA: Annuar Musa Dakwa Zahid Adakan Perjumpaan Secara Senyap Pada 2020 Untuk Angkat Anwar Jadi PM

Tambah Annuar, walaupun tiada parti-parti Melayu dan Islam yang berkuasa, beliau melihat dari perspektif sokongan dan dorongan daripada kalangan umat Islam.

Selain itu, PAS juga mempunyai dasar-dasar perjuangan yang tidak samar dan ragu dalam memperjuangkan kepentingan agama, maklumnya.

Tawar Diri Secara Sukarela

“Jadi itu asas yang saya pilih untuk menawarkan diri, berkhidmat tanpa ada sebarang rundingan atau tiada tawar-menawar.

“Saya memilih untuk memberikan khidmat, tenaga, masa dan apa yang ada pada saya untuk memperkasakan perjuangan Parti PAS,” ujarnya.

Dah Isi Borang PAS

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata seramai 10 senarai nama daripada bekas kepimpinan UMNO telah mengisi borang untuk menyertai parti tersebut, lapor Astro Awani.

Tan Sri Annuar Musa adalah antara nama yang termasuk dalam senarai tersebut.

Tambah Takiyuddin, pengesahan senarai nama-nama tokoh politik tersebut dijangka bakal diumumkan pada hujung bulan ini.

“Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. Insya-Allah akhir bulan ini.

“Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai Pas, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam UMNO,” maklumnya.

Sumber: Facebook Tan Sri Annuar Musa

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?