Siakap Keli
5 influencer muda bawah 30

5 Influencer Muda Bawah 30 Punca Ramai Belia Terpengaruh, No 3 Tu Paling Dikenali

5 Influencer Muda Bawah 30 Punca Ramai Belia Terpengaruh, No 3 Tu Paling Dikenali

Anak Muda adalah pewaris negara yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Mereka perlu digilap, dididik dan dilatih agar dapat menjadi manusia yang bermanfaat kepada masyarakat.

Sejarah telah membuktikan bahawa kemampuan anak muda untuk memimpin, bahkan berdiri sama tinggi dengan ketua negara pada ketika itu. Keberanian dan semangat anak muda yang berkobar-kobar jika disalurkan ke tempat yang betul boleh menjadi pemangkin perubahan dalam sesuatu tamadun atau negara.

Untuk penulisan pada kali ini, SK hendak berkongsikan berkenaan 5 influencer muda bawah 30 yang berpengaruh besar kepada rakyat negara kita. Tidak kiralah dari aspek apa, mereka-mereka ini mampu mempengaruhi belia-belia yang yang lain untuk bangkit terus berjaya di masa hadapan.

Khairul Aming

Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairul Aming, merupakan seorang pempengaruh terkenal yang berasal daripada Kota Bharu, Kelantan.

Jejaka yang terkenal dengan tagline “Hey, whats’ up guys” ini telah menjadi fenomena di media sosial kerana video-video masakan yang sangat mudah untuk diikuti oleh golongan yang baru berjinak-jinak dalam dapur.

Walaupun tiada latar belakang dalam bidang kulinari, namun personaliti serta gaya percakapan dan penyampaiannya yang tersendiri membuatkan ramai tidak kering gusi dan terus menantikan videonya.

Bukan itu sahaja, beliau juga turut dikenali sebagai usahawan yang berjaya. Beliau kini telah berjaya membuka dua kilang produk ‘Sambal Nyet’ yang menjadi kegilaan ramai.

Sofyank

Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank merupakan seorang pereka kandungan digital yang sangat terkenal di Malaysia.

Kebolehannya dalam membuat video dengan suntingan yang menarik memang tak perlu dipertikaikan lagi.

Pemuda yang berusia 27 tahun ini telah mencetuskan kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia apabila diberikan peluang untuk bekerjasama membuat video bersama dengan artis-artis terkenal Hollywood antaranya ialah Ryan Reynolds, Paul Rudd, Will Smith dan John Cena.

Tak hanya itu, pada baru-baru ini beliau turut membanggakan nama Malaysia dengan menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge – Magic of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianjurkan oleh pempengaruh media sosial dan pereka kandungan digital terkemuka antarabangsa, Zach King.

Kejayaan tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kejayaan itu sebagai satu inspirasi dan membanggakan negara.

Ryan Bakery

Ryan Bakery atau nama sebenarnya Muhammad Ryan Fahmi bin Bakery adalah merupakan seorang personaliti media sosial terkenal di Malaysia.
Jejaka yang mendapat sambutan hangat di platform TikTok itu berasal dari negeri Perak. Beliau aktif menghasilkan video-video parodi pendek yang mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak era 90-an di platform TikTok sejak dari tahun 2021 lagi.

Sebelum bergelar pempengaruh yang berjaya, beliau bekerja dalam bidang kargo penerbangan di KLIA. Pun begitu, beliau telah kehilangan pekerjaannya apabila dunia dilanda wabak pandemik.

Untuk memastikan kelangsungan hidup, beliau mula berjinak-jinak menghasilkan video di platform TikTok. Videonya itu secara tidak dijangka telah mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada netizen sekaligus membuka peluang untuknya meraih pendapatan.

Kesemua video-video yang dihasilkannya tular dan berjaya mendapat ribuan dan ada yang mencecah sehingga jutaan tontonan.

Mek Yun

Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee adalah seorang pempengaruh terkenal yang berasal daripada Kelantan.

Gadis cantik yang berusia 26 tahun ini sangat dikenali di media sosial dengan kecantikannya serta kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, kefasihannya dalam berbahasa Melayu itu telah membuatkan ramai yang tersalah sangka sehingga ada yang menyangka dirinya seorang gadis Melayu.

Kelebihan tersebut telah membuatkannya berjaya mengumpul lebih 900 ribu pengikut di platform TikTok. Bukan itu sahaja , beliau juga berjaya meraih anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik Universiti Tun Husseinn Onn Malaysia.

Tak hanya itu, impak yang datang daripada kefasihannya bertutur dalam Bahasa Melayu juga turut dirasai oleh kaum lain apabila ada yang meminta tip daripadanya berkenaan cara untuk menguasai bahasa kebangsaan.

Aura yang ada dalam video-videonya juga bukan sahaja terdiri daripada hiburan semata-mata, ianya juga turut memberi impak yang positif sebagai medium untuk menyatupadukan pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Ume Cikin

Nur Ashikien M.Azhar atau lebih dikenali sebagai Ume Cikin adalah merupakan seorang personaliti TikTok yang dipuji netizen kerana tidak membuat content yang negatif untuk meraih populariti.

Kandungan yang dipaparkannya sangat disukai ramai kerana cara penyampaiannya yang kreatif dan cukup bersahaja. Dengan perkongsian-perkongsian resipi, cerita kembara, nasihat dan lain-lain lagi, beliau sehingga kini berjaya mengumpul seramai lebih 700 ribu pengikut di platform TikTok.

Tak hanya itu, graduan kejuruteraan daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka ini juga pernah dianugerahkan dengan gelaran Ikon Keusahawanan Pemasaran Digital Wanita kerana berjaya menjadi usahawan produk acar ikan masin yang diusahakannya.

Ikon-ikon ini adalah bukti jika anak muda mendapat pendedahan yang baik, mereka mampu memberi sumbangan yang besar kepada negara. Hal ini seiring dengan matlamat penubuhan Parlimen Belia Malaysia.

Sebab itulah Malaysia adakan parlimen Belia sejak dari tahun 2015 bagi melatih dan memperkenalkan belia dengan sistem parlimen di Malaysia.

Untuk makluman, Parlimen Belia Malaysia ini ditubuhkan untuk melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar dengan keperluan negara masa kini dan masa hadapan.

Objektif penubuhannya adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan dikalangan generasi Y demi penerusan kepimpinan negara jangka panjang.

Ia juga turut dijadikan sebagai platform kepada belia untuk terlibat secara praktikal dalam proses membuat undang-undang serta memahami sistem pentadbiran negara serta mengenalpasti trend belia untuk disesuaikan dengan pembentukan polisi pentadbiran negara.

Kejayaan Parlimen Belia Malaysia

Sepanjang penubuhan Parlimen Belia Malaysia ini sejak dari tahun 2015, sebanyak 61 usul telah dibahaskan merangkumi pelbagai isu.

Terdapat sembilan jawatankuasa yang terdapat dalam Parlimen Belia Malaysia ini antaranya ialah Sosioekonomi, Pendidikan dan Kerjaya, Kebudayaan, Sukan, Patriotisme dan Integrasi, Keselamatan, Undang-undang dan Integriti, Pembangunan Masyarakat dan Kesihatan, Kerohanian dan Keagamaan, Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik, Prasarana, Pembangunan dan Alam Sekitar, Teknologi dan Inovasi.

Cara pemilihan

Antara syarat-syarat untuk pencalonan menjadi ahli Parlimen Belia Malaysia ini ialah, calon mesti berumur 18-30 tahun, warganegara, tiada rekod jenayah, tidak muflis, fasih berbahasa Melayu dan berdaftar di dalam sistem pemilihan Parlimen Belia Malaysia (e-PBM).

Calon juga perlu mempunyai seorang pencadang untuk mencalonkannya sebagai seorang Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) bagi negeri yang diwakili (pencadang mestilah beralamat di negeri yang sama dengan calon dan berdaftar di dalam sistem e-PBM.

Selain daripada itu, calon mesti mempunyai 5 penyokong yang berumur 15-30 tahun dari negeri yang ingin diwakili (penyokong mestilah beralamat di negeri yang sama dengan calon dan berdaftar dalam sistem e-PBM).

Seterusnya, calon tidak menyertai Felo Perdana dan Felo Korporat dalam tempoh 3 tahun sebelumnya, Manakala Alumni Parlimen Belia Malaysia sebelum ini tidak layak untuk menyertai Parlimen Belia Malaysia sesi 2023/2024.

Calon juga perlu mewakili negeri seperti alamat yang tercatat di dalam kad pengenalan.

Antara kriteria tambahan lain ialah calon perlu memiliki kualiti kepimpinan, kebolehan berbahas serta terlibat aktif dalam program-program komuniti. Berpengetahuan luas dalam isu-isu setempat, sosial, ekonomi dan antarabangsa.

Jumlah ahli

Sejak daripada awal penubuhan Parlimen Belia Malaysia, sebanyak 427 peserta telah berjaya daftar dan menjadi ahli Parlimen Belia Malaysia ini. Jumlah peserta dapat dilihat makin meningkat setiap tahun.

Pada tahun 2015 hingga 2016, seramai 133 peserta terdiri daripada 110 lelaki dan 23 wanita didaftarkan. Pada 2017 hingga 2018 pula, seramai 141 peserta yang terdiri daripada 113 lelaki dan 28 wanita berdaftar. Manakala pada tahun 2019 hingga 2021 pula, seramai 153 peserta yang terdiri daripada 128 lelaki dan 25 wanita menjadi ahlinya.

Kalau belia bersatu padu dalam menyuarakan pendapat, tahu akan undang-undang dan perlembagaan, tak mustahil umur setahun jagung pun boleh mentadbir negara.

Jadi, kalau ada sesiapa yang berminat nak join jadi ahli Parlimen Belia ni boleh daftar dengan cara klik dekat sini sebelum 2 Jun 2023.

Aqmal Ezany

I write what is right