Siakap Keli
dr zulkifli drama korea
Kredit: TikTok & Netflix

Dr. Zulkifli Puji Drama Korea, Babak Tepat & Sarat Dengan Ilmu

Dr. Zulkifli Puji Drama Korea, Babak Tepat & Sarat Dengan Ilmu

Rakyat Malaysia sememangnya sangat sinonim dengan drama Korea Selatan atau K-Drama yang boleh diakses dengan mudah dimana-mana sahaja.

Dahulu, demografi penggemar drama-drama dari Korea Selatan didominasi oleh golongan wanita. Akan tetapi, hari ini kita menyaksikan bahawa kaum Adam pun tidak terlepas daripada terjebak untuk menonton K-Drama.

Walaupun terdapat halangan bahasa, fenomena Gelombang Hallyu (Hallyu Wave) tidak menghalang komuniti global daripada terus menikmati karya seni dari negara Asia Timur ini.

Apatah lagi, kebanyakan drama Korea turut mengangkat tema sejarah dan budaya tempatan sekaligus membantu komuniti global mengenali negara itu dengan lebih dekat.

Bekas Mufti Kuala Lumpur, Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengakui bahawa beliau pun pernah menonton sebilangan kecil drama-drama Korea sepanjang hidupnya.

Dalam satu klip pendek yang dimuat naik dalam akaun TikTok (@media_albakri), beliau berkata demikian ketika berdialog berkenaan topik mengapa K-Drama diminati ramai.

“Kalau saya minat, saya akan tengok untuk dapatkan maklumat. Saya pernah tengok sekali dua baru-baru ini,” katanya.

Menurut Dr. Zulkifli, dirinya pernah menonton K-Drama mengenai kehidupan seorang peguam austisme dan memuji karya tersebut.

Katanya, hasil karya yang dihasilkan cukup bagus sehingga menarik perhatian seluruh dunia untuk menontonnya.

Pihak produksinya juga melakukan kajian mendalam bagi menjadikan jalan cerita yang dihasilkan realistik dan tepat mengikut fakta.

“Dia (pihak produksi) buat cerita tu, seluruh dunia (akan tonton) sebab dia study,” ujarnya.

Segelintir drama tempatan masih ketinggalan di belakang

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli turut menzahirkan sedikit rasa kesal apabila melihat kualiti sesetengah drama di Malaysia masih ketinggalan.

Perkara ini dapat dilihat melalui beberapa babak yang ditampilkan di dalam drama-drama tertentu yang tidak menepati prosedur profesion yang dilakonkan.

Percanggahan fakta inilah yang menyebabkan para penonton merasa skeptikal terhadap drama-drama tempatan.

“Kadang-kadang, sangkut stetoskop pun pun tak betul. Dah orang nak percaya apa?”

Selain itu, skrip drama tempatan juga kurang memahami istilah-istilah khusus dalam biasa dilontarkan dalam watak kerjaya dilakonkan. Ia menyebabkan beberapa drama tempatan sering membawa babak yang klise dan jalan penceritaan yang mudah dijangka.

“Istilah-istilah doktor tak tahu, selepas itu buat lagak macam ”ni kes berat tuan”, apa benda?”

Berbeza dengan drama Korea, Dr. Zulkifli berpendapat pihak produksinya menghasilkan karyanya secara teliti dan merujuk pakar bagi sesuatu bidang.

Misalnya, ada lontaran dialog yang membincangkan sesuatu penyakit dengan teliti selain istilah-istilah yang digunakan juga tepat.

”Mereka buat dengan terperinci. Kalau penyakit ini, penyakit ini. Kemudian, berdebat pula tentang penyakit. Kalau kanser, (berbincang) kanser apa? Kalau jenis, jenis apa? Kalau ubat, ubat apa? Mereka mengkaji dan merujuk pada pakar,” katanya.

Dengan ini, orang menonton drama yang dihasilkannya mendapat ilmu baharu, di samping berhibur dan melepaskan stres, ujarnya.

@media_albakri

Kenapa cerita korea menarik dan mudah dihayati oleh semua orang #albakri #drzulkiflialbakri #Drzulkifli #tgdz #dramakorea #kdrama

♬ original sound – Media_AlBakri – Media_AlBakri

BACA: Tips Mudah, Set Macam Ni Nak Elak Orang “Add” Masuk “Group” Telegram Bukan-bukan

Sumber: media_albakri via TikTok

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma