Buat “Part Time Job” Remaja 13 Tahun Ditahan Pandu Lori Roro
SHAH ALAM — Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu memandu lori Roll On Roll Off (roro) di Persiaran Mokhtar Dahari semalam, lapor Sinar Harian.
Remaja Pandu Lori Roro
Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, sewaktu anggota JPJ sedang melakukan rondaan, pihaknya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan. Susulan itu, pihaknya telah membuat penahanan kira-kira pada jam 12.20 tengah hari.
Kata Datuk Khairul, hasil pemeriksaan mendapati remaja terbabit memandu lori tanpa muatan tersebut.
“Turut bersama remaja itu ialah abangnya berusia 15 tahun sebagai kelindan.
“Selain memandu bawah umur, kita turut mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, memasang lampu mata arah (strobe light) serta tiada tanda had laju,” jelasnya kepada Sinar Harian hari ini.
BACA JUGA: Budak Pandu Kereta Hingga Terbabas, Polis Selesai Rekod Keterangan Ibu Bapa
Tambahnya, difahamkan remaja terbabit masih bersekolah dan menjalankan kerja sambilan sebagai pemandu lori roro milik keluarganya.
Oleh hal demikian, pihak JPJ telah menyita lori berkenaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Manakala kenderaan tersebut dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, pemandu yang memandu di bawah umur boleh disabitkan tindakan di bawah di bawah Seksyen 39 APJ 1987. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan dendan tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.
Budak Enam Tahun Pandu Kereta
Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia enam tahun memandu sebuah kereta sejauh 2.5 kilometer sebelum dilaporkan terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi, lapor Sinar Harian.
Kanak-kanak terbabit turut membawa adik lelakinya berusia tiga tahun bersama.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.15 malam.
Tambah Shariman Ashar, pemandu cilik itu hanya mengalami kecederaan di dagu.
Video kemalangan melibatkan pemandu kanak-kanak enam tahun di Langkawi itu tular di media sosial.
Sumber: Sinar Harian