Hall of Fame : Pemilihan Lee Chong Wei & Lin Dan Disahkan Tepati Kriteria – BWF
KUALA LUMPUR – Kelayakan dua legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei (Malaysia) dan Lin Dan (China) dalam Anugerah Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) disahkan menepati garis panduan Suruhanjaya Anugerah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
BWF dalam satu kenyataan rasmi hari ini berkata, perkara itu disahkan selepas Jawatankuasa Majlis BWF menerima cadangan daripada suruhanjaya berkenaan mengenainya.
Jelasnya, pemilihan tersebut dibuat mengikut kriteria yang digariskan selepas menilai prestasi cukup memberangsangkan yang ditampilkan oleh kedua-dua bekas pemain badminton terbabit.
“Kedua-duanya merupakan calon yang layak untuk menerima anugerah selepas sumbangan dan prestasi cemerlang mereka dalam arena badminton dalam tempoh yang ketara suatu ketika dahulu,” maklum BWF dalam kenyataan tersebut hari ini.
Difahamkan, isu kelayakan kedua-dua mereka dalam Hall of Fame tercetus apabila legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat membangkitkan perkara tersebut baru-baru ini.
Taufik baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berbaur kecewa yang mempersoalkan mengapa dirinya tidak terpilih bagi anugerah berprestij tersebut.
Selain itu, badan tersebut turut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan ramai legenda badminton dalam sukan berkenaan.
Sehubungan itu, BWF berharap lebih ramai “juara” terlahir dan berjaya menempatkan diri mereka dalam BWF Hall of Fame pada tahun-tahun akan datang.
BACA JUGA: Dianggap Legenda Badminton, Ini Rekod Chong Wei, Lin Dan & Taufik Hidayat Menurut BWF
Gelagat Lin Dan & Chong Wei Main “Osom” Curi Tumpuan
Sebelum ini, gelagat dua bekas seteru utama berkenaan mencuri tumpuan ramai selepas bermain “osom” sewaktu sesi Upacara Induksi Dewan Kemasyhuran BWF baru-baru ini.
Sewaktu sesi soalan diajukan oleh wartawan, kedua-dua mereka tidak dapat menentukan giliran siapa yang bakal menjawab terlebih dahulu.
Menariknya, Chong Wei dan Lin Dan bertindak memutuskan giliran mereka dengan bermain osom. Dalam penentuan osom itu, pemain kelahiran China itu tewas kepada Chong.
Sehubungan itu, beliau terpaksa menjawab pertanyaan dari wartawan terlebih dahulu.
Walaupun hanya bermain osom, kemenangan Chong Wei dalam permainan itu sekurang-kurangnya ‘sedikit sebanyak’ dapat menyuntik rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia.
Persaraan Dua “GOAT” Badminton
Untuk makluman, Chong Wei mengumumkan persaraannya dari dunia badminton pada 13 Jun 2019. Setahun kemudian, Lin Dan pula memaklumkan beritanya “gantung raket” pada Julai 2020.
https://www.facebook.com/bwfbadminton/posts/pfbid0ddBxC6WHRcivjn2X6FGNCZqrGYxu4kuMefBB3nDMHUDa9h1mq2RnH52u9SihY4tbl