Siakap Keli
Jocelyn Chia
Gambar: Mothership

Kerajaan Singapura Sahkan Jocelyn Chia Bukan Lagi Warganegara, Mohon Maaf Pada Rakyat Malaysia

Kerajaan Singapura Sahkan Jocelyn Chia Bukan Lagi Warganegara, Mohon Maaf Pada Rakyat Malaysia

Kerajaan Singapura pada hari ini menyatakan permohonan maaf mereka kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran tindakan melampau pelawak Jocelyn Chia yang berasal dari negara itu dalam satu video yang tular baru-baru ini.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, beliau sangat terkejut atas lawak jenaka melampau yang dibuat Jocelyn semasa membuat pementasan komedi berdiri baru-baru ini.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain. Chia yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia,” kata Vanu Gopala dalam satu kenyataan. 

Vanu Gopala berkata demikian bagi mengulas persembahan pelawak yang berasal dari Singapura itu.

Dalam kejadian itu, Jocelyn didapati telah menghina dan memperlekeh negara Malaysia menerusi persembahan komedi berdirinya.

Persembahan komedi berdiri pelawak itu juga turut disifatkan sebagai sangat melampau oleh netizen.

Guna tragedi MH370 sebagai bahan jenaka

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenakanya sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok. Pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia sebagai jauh ketinggalan berbanding negara Singapura yang bergelar negara maju. Terutamanya selepas Singapura berpisah dengan Tanah Melayu 40 tahun lalu.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Dalam pada itu, Vanu Gopal turut berkata bahawa sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan yang kukuh dari pelbagai peringkat. Ikatan itu dilihat cukup mendalam bagi kedua-dua buah negara.

“Kita juga mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan yang erat antara rakyat dengan rakyat.

“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” tegas Vanu Gopal lagi.

Sumber: Astro Awani

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka