Siakap Keli
warga asing 10 kesan tikaman
Kredit: BERNAMA

Mayat Lelaki Warga Asing Ditemukan Dengan 10 Kesan Tikaman

Mayat Lelaki Warga Asing Ditemukan Dengan 10 Kesan Tikaman

BATU KAWAN, 13 Jun (Bernama) — Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan berlumuran darah dengan 10 kesan tikaman di seluruh badan disyaki dibunuh di Taman Central Island ASPEN, di sini hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata pihaknya menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat itu pada 9.20 pagi sebelum sepasukan polis terus ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang lelaki yang tidak sedarkan diri.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan berdarah dan pegawai perubatan yang ke lokasi kejadian mengesahkan lelaki yang tiada dokumen pengenalan diri itu telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai warga asing dan terdapat 10 kesan tikaman di seluruh badan lelaki itu, ketika ditemukan dia memakai pakaian lengkap iaitu t-shirt berwarna merah serta berseluar jeans,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan identiti mangsa dan kenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian pembunuhan itu.

Khaw berkata polis juga mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian bagi mengesan mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

“Pihak polis meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian itu atau orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 04-5858222,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sumber: BERNAMA

BACA: Pelakon Korea Selatan Park Soo Ryun Meninggal Dunia Akibat Jatuh Tangga

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana