Siakap Keli
Pengulas intan serah nama bapa
Kredit: Instagram

Pengulas Amerika Panggil Intan Serah Dengan Nama Bapa, “Abah Mesti Tersedak”

Pengulas Amerika Panggil Intan Serah Dengan Nama Bapa, “Abah Mesti Tersedak”

Peminat sukan tanah air sudah tentu maklum dengan berita pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah yang berkelana ke Amerika Syarikat untuk beraksi di dalam liga disana.

Menerusi media sosial, Intan yang juga merupakan pemain futsal sering berkongsi perjalanan kariernya di benua Amerika itu dengan para peminat.

Namun begitu, perkongsian yang dibuatnya menerusi Twitter @serahsocool hari ini nyata mencuri tumpuan banyak pihak.

Tengah hari tadi, Intan memuat naik ciapan yang menghiburkan apabila pengulas bola sepak di Amerika Syarikat memanggil dirinya dengan nama bapanua.

Dalam ciapan berkenaan, pemain muda tersebut turut menampilkan satu klip video pendek yang berdurasi kira-kira 45 saat.

Difahamkan, klip berkenaan merupakan sebahagian daripada siaran ketika kelabnya turun berentap dalam satu perlawanan liga, menentang SUSA FC di gelanggang lawan.

Ketika itu, Intan sedang membawa bola menuju ke arah gawang lawan sebelum menghantar bola ke rakan sepasukan. Namun rakan sepasukannya gagal menjaringkan gol biarpun pintu gol sudahpun terbentang luas.

Manakala ketika itu, pengulas pula sedang rancak mengulas aksi di atas padang termasuk larian bersama bola dan hantaran yang dibuat oleh Intan.

Namun, mungkin disebabkan faktor sistem nama di Malaysia yang berbeza berbanding sistem nama di Barat menyebabkan nama bapa Intan pula yang disebut.

“Zulgalfi (nama bapa Intan Serah) telah maju ke hadapan dengan pantas. Zulgalfi telah menghantar bola ke tangah,” kata pengulas tersebut.

Pengulas menyebut ‘bapa’ Intan berusia 24 tahun

Lebih mencuit hati, pengulas turut tidak melepaskan peluang berkongsi serba sedikit latar belakang Intan kepada penonton.

“Zulgalfi merupakan seorang pemain yang berusia 24 tahun, menyertai pasukan tersebut pada minggu lepas,” kata pengulas terbabit.

Dalam ciapan yang sama, Intan Serah turut mengulas “Abah mesti tersedak tadi dengar nama dia banyak kali. Haha.”

Bukan sahaja Intan yang terhibur, malah pengikutnya di laman Twitter juga mengakui tergelak apabila mendengar ulasan berkenaan.

 

 

“Tersembur-sembur nasi masak lomak cili api daging salai, sayur kangkung belacan, ikan keli goreng ayah awak tadi tu,” tulis pengguna @Pokokpangkal.

“Intan kena ajar komentar untuk sebut nama Intan bukan abah Intan (emoji gelak)” kata pengguna @M_D_Luffy_8897

Ada juga yang merasa sedih kerana percubaan rakan sepasukan Intan untuk menjaringkan gol gagal.

“Sayang tak masuk , cun dah assist tu,” komen pengguna @asaipenang.

Terdahulu, Intan Serah mengesahkan telah menerima lamaran daripada sebuah kelab bola sepak yang bertempat di New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

New York Dutch Lions FC (NYDLFC) turut memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran Instagram bersama Intan Serah pada Isnin, 12 Jun 2023.

NYDLFC adalah kelab yang bersaing dalam Liga Bola Sepak Premier Wanita (WPSL) di negara berkenaan.

BACA: Masa Semakin Suntuk, Kanak-kanak Perlukan Bantuan RM 400k Untuk Transplan Tulang Sumsum

Sumber: @serahsocool via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma