Siakap Keli
rohana jalil meninggal dunia
Gambar: Astro Awani

Rohana Jalil Meninggal Dunia 

Rohana Jalil Meninggal Dunia 

KUALA LUMPUR — Artis veteran tanah air, Rohana Jalil atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil dilaporkan meninggal dunia pada usia 68 tahun pada jam 11.33 malam sebentar tadi, lapor Astro Awani.

Berita duka pemergian Allahyarhamah disahkan sendiri oleh rakan rapat, Haiza.

“Al-fatihah buat Hajah Dara Jalil (Rohana Jalil) Innalillahiwainailaihirojiun. Baru je malam tadi buat bacaan Yasin dan Tahlil untuk sahabat yang dah pergi juga buat Kak Ana yang sedang berjuang.

“Dapat berita Kak Ana dah dijemput Ilahi. Semoga Allah tempatkan Kak Ana bersama-sama orang yang beriman. Salam takziah buat Abang Jangir, Kira, Kila dan keluarga,” tulisnya di Facebook.

Difahamkan, Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 sebelum Zuhur esok.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Rohana dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Allahyarhamah yang mengalami komplikasi kebocoran usus sebelum ini dilaporkan telah diletakkan di wad pemantauan sejak April lalu.

Dalam pada itu, antara selebriti tanah air yang terkesan dengan pemergian Allahyarhamah termasuklah Noor Neelofa Mohd Noor .

Menerusi ciapan di Twitter, beliau mengucapkan takziah buat Kila Fairy sekeluarga di atas pemergiaan ibu tercinta.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Salam takziah kepada Kila Fairy sekeluarga, di atas pemergian ibu tercinta, Allahyarhamah Rohana Jalil. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan soleh. Al-Fatihah,”tulisnya dalam ciapan tersebut.

BACA JUGA: Usahawan Kosmetik Muhd Irfan Abdullah Meninggal Dunia

Rohana Dalam Keadaan Lemah – Haiza

“Sejak Ahad lalu ketika saya datang melawat, memang keadaan dia lemah.

“Tetapi dia boleh dengar bila saya bisik di telinga dia. Haiza beritahu dia datang (melawat), dia angguk,” ujar penyanyi itu.

Tambah Rohaizah atau lebih mesra disapa Haiza, juara Bintang RTM 1980 itu masih menerima rawatan di Hospital berkenaan.

Karier Rohana Jalil

Pada tahun 1979, Rohana Jalil memulakan kariernya dalam industri nyanyian sejak usia 17 tahun.

Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya.

Namun dengan berbekalkan bakat dan keazaman, dia kemudian dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

Sumber: Astro Awani 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?