Siakap Keli
joesthetics meninggal dunia
Kredit: joesthetics via Instagram

Youtuber Bina Badan Jo Lindner Meninggal Dunia Akibat Aneurisme

Youtuber Bina Badan Jo Lindner Meninggal Dunia Akibat Aneurisme

Pembina badan dan pempengaruh warga Jerman Jo Lindner telah meninggal dunia pada usia 30 tahun, lapor Sport Bible.

Teman wanita pempengaruh itu yang juga dikenali sebagai ‘Joesthetics’, iaitu Nicha mengumumkan berita sedih tersebut di laman Instagram.

Nicha berkata Lindner meninggal dunia secara mengejut akibat daripada aneurisme dan merayu kepada peminatnya untuk sentiasa mengingati kerja keras teman lelakinya.

Dalam satu hantaran di Instagram, Nicha memaklumkan teman lelakinya berada di pangkuannya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.

“Dia berada dalam pelukan saya. Perkara ini berlaku dengan terlalu pantas. Tiga hari lalu dia terus (mengatakan) bahawa dia (mengalami) sakit di leher.

“Kami benar-benar tidak menyedarinya sehingga ia sudah terlambat,” katanya.

Selain teman wanita, berita itu turut dikongsi oleh rakan bina badan Lindner, Noel Deyzel melalui Instagram buat pertama kali.

Deyzel memberi penghormatan kepada Lindner walaupun tidak mempercayai rakannya itu pergi dengan mengejut.

“Rehat dengan tenang Jo. Saya masih lagi memeriksa telefon untuk menunggu jawapan awak supaya kita boleh berjumpa di gim.

“Saya patah hati bro. Awak banyak memberi pertolongan kepada kami, awak banyak tunjukkan kepada kami tentang kehidupan dan media sosial.

“Kemurahan hati awak terhadap diri saya dan orang lain akan sentiasa diingati,” katanya.

BACA: Adik Luth Meninggal Dunia

Peminat Jo Lindner beri penghormatan

Orang ramai dari seluruh komuniti bina badan turut memberi penghormatan kepada Lindner sejak berita mengenai kematiannya tersebar.

Rata-rata mereka meluahkan rasa sedih dan memberi penghormatan terhadap Lindner.

“Hari ini kita kehilangan legenda dan ikon, semoga tenang,” kata salah seorang peminatnya.

“Sayang anda pergi dengan begitu cepat. Anda merupakan seorang legenda dan seorang yang hebat dalam bina badan,” ujar pempengaruh Antonio Pozo.

Imbas kembali, kehidupan Lindner meraih perhatian ramai melalui rutin bina badan kerana sering berkongsi video mengenainya di media sosial.

Dia memperoleh kira-kira 8 juta pengikut Instagram dan 941,000 pelanggan di Youtube.

Lindner telah tinggal di Thailand selama beberapa tahun dan dia dianggap antara ‘sumber pengetahuan’ yang sangat digemari oleh komuniti kecergasan di seluruh dunia.

Sumber: Sportbible

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana