Siakap Keli
Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil

Pernah Terima Surat Berhenti Belajar, Lelaki Tak Putus Asa Hingga Berjaya Bergelar Prof. Madya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pernah Terima Surat Berhenti Belajar, Lelaki Tak Putus Asa Hingga Berjaya Bergelar Prof. Madya

Perjalanan hidup setiap orang mempunyai kisah yang berbeza-beza dan alur kisah tersendiri. Setiap daripada kita ada yang diuji dengan kesusahan hidup dan ada juga diuji dengan kemewahan.

Oleh itu, penting untuk setiap orang menanamkan nilai tidak mudah putus asa dalam mendepani pelbagai masalah dan cabaran dalam kehidupan.

Hingga ke hari ini, kita dapat menyaksikan sebahagian orang-orang hebat datang daripada masa lalu yang tidak pernah dibayangkan.

Sehubungan itu, hari ini, pihak SK akan berkongsikan coretan seorang insan yang dahulu pernah gagal dalam bidang pendidikan namun bangkit bergelar seorang ‘Professor Madya’.

Sehubungan itu, tanpa membuang masa mari kita selami perkongsian Midhat Nabil di bawah. Semoga memberikan inspirasi kepada anda.

The Story Of My Life

Gambar: Midhat Nabil

Saya rasa terpanggil untuk berkongsikan kisah pengalaman belajar saya terdahulu. Ramai dikalangan pelajar saya sendiri di universiti ini menyangkakan bahawa saya adalah seorang yang cemerlang sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi realitinya adalah tidak.

Buat permulaan, keputusan UPSR saya adalah baik, di mana saya memperolehi 2A dan 2C. Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada diri saya. Untuk keputusan PMR, saya hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekaligus meranapkan impian saya untuk memasuki aliran Sains.

Dengan berat hatinya, saya meneruskan belajar di aliran Perakaunan. Tetapi nasib menyebelahi saya tidak lama selepas itu, di mana pihak sekolah membuka peluang kepada pelajar aliran lain yang ingin bertukar ke aliran Sains.

BACA JUGA: Comel Tapi Bahaya, Kenali Kucing Hutan Paling Digeruni Ramai

Gambar: Midhat Nabil

Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pelajar aliran Sains di sekolah saya. Setelah berjumpa dengan Guru Besar untuk menyatakan hasrat saya untuk bertukar aliran, beliau pada mulanya tidak bersetuju untuk saya mengikuti aliran Sains disebabkan oleh faktor keputusan PMR yang tidak memberangsangkan.

Saya bersungguh-sungguh berjanji kepadanya untuk belajar sebaik mungkin dan akhirnya beliau bersetuju untuk membenarkan saya memasuki aliran Sains

Gambar: Midhat Nabil

Sebaik mengikuti aliran Sains, saya telah merasakan bahawa saya telah membuat satu keputusan yang silap, di mana subjek-subjek Sains Tulen yang saya ambil adalah terlalu sukar untuk saya ikuti. Ditambah pula dengan subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai ‘killer subject’ oleh semua pelajar aliran Sains.

Setiap kali peperiksaan tahunan, saya akan mendapat antara keputusan yang tercorot di dalam kelas dan ini mengundang perasaan risau kepada cikgu tingkatan saya (untuk subjek Matematik Tambahan, sekalipun tak pernah lulus).

Gambar: Midhat Nabil

Akhirnya, apabila keputusan SPM sebenar telah diumumkan, keputusan yang diperolehi adalah sangat teruk (tiada satu A pun yang telah saya perolehi jika mengikut kepada sistem penggredan SPM terkini).

Cikgu tingkatan yang menyerahkan slip keputusan tersebut menyatakan bahawa saya memang tiada masa hadapan yang cerah disebabkan oleh sikap saya yang tidak mahu berubah langsung dan di dalam hati saya mengakui akan pendapatnya. 

Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil

Selepas itu, saya cuba untuk mohon sambung belajar di pelbagai institusi, malangnya semua telah ditolak. Maka bermulalah episod saya sebagai seorang operator pengeluaran di kilang Denso di Bangi.

BACA JUGA: Berjaya Capai 9A+, Majikan Beri ‘Hadiah Istimewa’ Kepada Pekerja Sambilan

Selepas 6 bulan, saya telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi Guardian, Kajang. Tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat bahawa bagi sesiapa yang tidak cemerlang semasa SPM, boleh menyambung belajar di peringkat Pra-Sains di UiTM.

Kursus Pra-Sains ini akan menggilap kembali pengetahuan subjek-subjek Sains Tulen sebelum diterima masuk ke program Diploma UiTM. Jika berjaya memperolehi CGPA 3.00 dan ke atas bagi semester pertama kursus Pra-Sains, layak untuk mengikuti program-program Diploma di UiTM. Tetapi jika CGPA kurang dari 3.00, maka terpaksa mengikuti semester kedua kursus Pra-Sains. 

Alhamdullilah, saya telah diterima masuk ke program ini di UiTM Jengka, Pahang. Malangnya, CGPA bagi semester pertama saya adalah 1.92 dan saya telah mendapat keputusan Gagal dan Diberhentikan.

Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil

Apabila membaca keputusan tersebut, terus rasa dunia saya gelap gelita. Maka, saya kembali membuat kerja sambilan selepas itu. Ibu bapa pun berasa sangat kecewa dan berputus asa dengan saya.

Tetapi selang seminggu selepas itu, ibu saya telah mendapat satu panggilan dari pihak UiTM Jengka yang memaklumkan bahawa mereka ingin membenarkan saya untuk mengikuti pengajian semetser kedua Kursus Pra-Sains, memandangkan CGPA saya adalah kurang sedikit sahaja di bawah 2.00.

Mendengar berita ini, saya telah berjanji di hadapan ibu bapa saya untuk benar-benar berubah dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang lepas.

BACA JUGA: Tujuh Pemain Terbaik Pernah Sarung Jersi Nombor Ikonik 7

Oleh itu, saya telah mengikuti semester kedua tersebut dan Alhamdullilah saya telah memperolehi GPA 3.25 Banyak perubahan yang telah saya lakukan, seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai ‘study group’. 

Gambar: Midhat Nabil
terima surat berhenti lelaki professor
Gambar: Midhat Nabil
Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil

Semenjak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan mengekalkan momentum tersebut. Saya sambung pula pengajian di peringkat Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis. Selepas itu, saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan telah berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut (pinjaman PTPTN tak perlu bayar balik).

Kemudian mengikuti Masters di dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, UK dan setelah menjadi antara 2 pelajar terbaik bagi program tersebut, terus ditawarkan tempat untuk pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama.

Alhamdullilah, telah menamatkan pengajian PhD di dalam tempoh 4 tahun dan tesis telah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.

Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil
Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil

Jadi, tidak mustahil jika kita tidak berjaya pada masa kini, kita tidak boleh berjaya di kemudian hari. Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.

Insya-Allah kalau saya boleh berjaya, anda semua pun pasti boleh melakukannya. Saya berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11) yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka”. Alhamdullilah, sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu di atas segala nikmat yang telah Kau berikan kepadaku selama ini, Amin.

BACA JUGA: Kenali Kairan Quazi, Pekerja Termuda SpaceX Berusia 14 Tahun

Akhir kata, jangan pernah mempersiakan peluang yang telah diberikan kepada kita, mungkin kita tidak akan merasai peluang kedua. 

Lelaki bergelar prof madya
Gambar: Midhat Nabil
Gambar: Midhat Nabil

Coretan jujur penulis yang suatu ketika dahulu pernah tidak diberikan apa-apa harapan oleh sesiapapun.

Ikhlas, 

Prof. Madya Dr. Midhat Nabil (AMIChemE)

p/s: Terima kasih tak terhingga kepada UiTM kerana menjadikan saya sebagaimana hari ini dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kerana tempatku mencari rezeki, Syukur.. 

Sumber: Facebook Midhat Nabil

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?