Siakap Keli
bayaran pencen ikut amaun asal
Kredit BERNAMA

Bayaran Pencen Ikut Amaun Asal – PM

Bayaran Pencen Ikut Amaun Asal – PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Beliau berkata ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

“Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

“Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam keadaan dan situasi sekarang. Oleh itu, kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara-pesara perkhidmatan awam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Lelaki Ajar Teknik Mudah Guna “Chopstick”, “Confirm” Ramai Boleh Buat

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang telah ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Beliau berkata ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, pesara-pesara perkhidmatan awam dan kerajaan.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baharu dan melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.

Pada 6 Julai lepas, Anwar berkata kerajaan akan mengumumkan mekanisme khas berkaitan pencen penjawat awam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa undang-undang sedia ada bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menuntut semula bayaran kenaikan pencen sebanyak dua peratus yang dilaksanakan sejak 10 tahun lepas kerana ia sudah dinikmati oleh pesara dan jumlah yang diberikan tidak terlalu besar kerana kebanyakan penerima adalah dalam kalangan B40 dan M40.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka