Siakap Keli
Coordinated Inauthentic Behavior
Kredit: Bernama

Ini Maksud “Coordinated Inauthentic Behavior” & Kesannya Kepada Masyarakat

Ini Maksud “Coordinated Inauthentic Behavior” & Kesannya Kepada Masyarakat

Baru-baru ini, istilah Coordinated Inauthentic Behavior (CIB) tiba-tiba menjadi popular di media sosial hingga mendatangkan banyak pertanyaan kepada orang ramai.

Istilah ini dipercayai diperkenalkan pada 2018 oleh Meta, iaitu syarikat teknologi gergasi yang memiliki banyak platform media sosial terkemuka.

Bagaimanapun, istilah ini kekal asing dalam masyarakat awam dan ramai sebenarnya tidak tahu pun istilah ini wujud. Apatah lagi dengan maksud istilah itu sendiri.

Baik, secara umumnya, CIB merupakan satu tingkah laku atau taktik dalam komunikasi yang bersifat manipulatif.

Apakah yang dimaksudkan dengan taktik komunikasi bersifat manipulatif ini?

Ia berlaku apabila satu-satu pihak mencampur adukkan penggunaan akaun media sosial tulen, palsu atau pendua (duplicate) untuk beroperasi sebagai rangkaian adversarial melewati pelbagai platform media sosial.

CIB sering digunakan sebagai ‘senjata’ untuk mengganggu, membahayakan atau memesongkan sesuatu perdebatan di atas talian berkenaan sesuatu isu penting kepada masyarakat.

Sebagai contoh, taktik ini digunakan untuk menyebarkan info-info salah berkenaan program vaksinasi. Setakat ini, CIB kekal sebagai satu-satunya ancaman paling berbahaya kepada kebebasan bersuara dan demokrasi sesebuah negara.

Menurut Vicarius, taktik komunikasi manipulatif ini memiliki dua jenis:
  • kempen-kempen dari badan atau pihak selain kerajaan.
  • melibatkan aktor daripada kerajaan atau negara luar, dirujuk sebagai Gangguan Negara Luar atau Kerajaan (FGI).

Walaubagaimanapun, tujuannya adalah sama iaitu kedua-duanya adalah sebahagian daripada kempen yang bertujuan untuk mempengaruhi perspektif pengguna, khususnya di media sosial.

Apabila perspektif pengguna berjaya dipengaruhi, agenda sama ada agenda politik atau agenda sosial kelompok yang memulakan CIB boleh disebarkan.

Berdasarkan kajian terkini, terdapat beberapa bukti yang mendedahkan bahawa CIB mampu memberikan ancaman kepada masyarakat dan amalan demokrasi itu sendiri.

CIB digunakan untuk menyebar maklumat yang menyimpang, memiliki matlamat yang bersifat manipulatif dan sudah semestinya, tidak mendedahkan siapakah dalangnya.

Justeri, CIB juga merupakan halangan terbesar kepada pengguna media sosial dalam mendapatkan sumber maklumat yang sahih.

Mereka juga sukar untuk mengenal pasti daripada siapa mereka mendapatkan maklumat tersebut kerana identiti pemilik sesuatu akaun itu tidak dapat dikenalpasti.

Namun begitu, ancaman paling bahaya adalah CIB terbukti mampu mengubah pendapat awam dalam tempoh yang amat singkat. Jadi, usaha-usaha untuk menghapuskan akaun-akaun yang mengoperasikan CIB hampir tidak berguna dalam jangka panjang kerana objektif akaun-akaun ini sudah tercapai.

Lebih parah, CIB juga berpotensi mengganggu kestabilan dan menyebabkan suasan tidak harmoni tercetus.

Justeru, ada beberapa cara untuk orang ramai mengenal pasti kesahihan sesuatu akaun media sosial. Antaranya, memeriksa bahagian ‘Page Transparency‘ pada halaman media sosial, mengenal pasti ‘Admin‘ dan ‘Moderator‘ yang mengoperasikan sesuatu akaun atau laman media sosial serta mengambil maklumat daripada halaman media sosial yang memiliki Blue Tick. 

BACA: Pasrah Tempoyak ‘Meletup’, Kawasan Dapur Dah Jadi Macam Zon Perang

Sumber: Vicarius, National Library of Medicine

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma