Siakap Keli
penghidap kanser one piece
Gambar: AFP

Hayat Tinggal Lagi 4 Bulan, Penghidap Kanser Luah Teringin Nak Tahu Penghujung One Piece

Hayat Tinggal Lagi 4 Bulan, Penghidap Kanser Luah Teringin Nak Tahu Penghujung One Piece

One Piece adalah sebuah manga dan anime yang mengisahkan pengembaraan satu kumpulan lanun, diketuai oleh Monkey D. Luffy yang bercita-cita mahu menjadi Raja Lanun.

Karya ciptaan Eiichiro Oda ini mempunyai kumpulan pengikut yang tersendiri, mencecah ratusan juta peminat yang berada di hampir segenap pelosok dunia. Malah, tidak dapat dinafikan, bagi mereka yang benar-benar mengikuti siri ini sejak dari mula One Piece diterbitkan, hari ini mungkin sudah berusia hampir 30 ataupun sudah di atas 30 tahun.

Apa tidaknya, sejak diterbitkan pada penghujung 90-an, plot dan penceritaan One Piece terus berkembang dan bertahan sehingga ke hari ini.

Walaupun siri manga sudah menghampiri episod 1,088 dan anime pula berada pada episod 1,070, namun masih tiada bayang bila One Piece akan berakhir.

Tiada siapa pun dapat meneka bagaimana dan bila siri One Piece akan berlabuh. Apakah cita-cita dan impian setiap kru lanun Mugiwara No Luffy akan tercapai? Mampukah mereka tiba di pulau terakhir, Laugh Tale bersama-sama? Bagaimana pula rupa harta karun, One Piece yang ditinggalkan oleh Raja Lanun terdahulu, Gol D. Roger? Semuanya masih menjadi teka-teki sehingga ke saat ini.

Penghidap kanser teringin nak tahu penghujung One Piece

Maka, tak hairanlah luahan seorang pengguna Reddit baru-baru ini menjadi tular dalam komuniti peminat One Piece di seluruh dunia.

Menurut laporan Anime Senpai, pengguna Reddit berkenaan mengakui bahawa dia adalah seorang penghidap kanser tahap tiga.

Memandangkan doktor menjangkakan hayatnya hanya tinggal sekitar empat bulan lagi, pengguna Reddit tersebut mengakui begitu teringin untuk mengetahui pengakhiran One Piece.

”Saya penghidap kanser terminal. Ia bermula pada kulit sebelum merebak ke nod limfa. Saya hanya ada masa sekitar empat bulan lagi, namun mempunyai satu impian yang besar.

”Saya berharap mampu bertahan sehingga episod terakhir One Piece. Saya tahu, pengembaraan Oda akan terus ‘berlayar’ tanpa saya, namun saya berharap mampu tiba di Laugh Tale juga,” kata pengguna Reddit berkenaan.

Luahan yang dibuat pengguna Reddit berkenaan terus mendapat perhatian para peminat One Piece yang lain. Rata-rata memenuhi ruang komen hantaran tersebut dan meninggalkan kata-kata semangat kepada individu berkenaan.

”Semangat yang kamu tunjuk sangat menginspirasikan. Kita semua berkongsi rasa cinta yang sama kepada One Piece. Kami bersama kamu, kawan,” kata seorang pengguna Reddit.

”Saya berharap impian kamu akan tercapai. Kamu benar-benar mempunyai semangat seperti kru lanun Mugiwara, berlayar menuju destinasi terakhir dengan penuh keberanian,” kata seorang lagi.

Identiti pengguna Reddit berkenaan kekal misteri, namun sokongan yang ditunjukkan oleh komuniti peminat One Piece cukup mengharukan.

Walaupun begitu, kisah dan pengakuan yang dibuat pengguna Reddit tersebut tidak dapat disahkan. Sekiranya benar, para pengguna Reddit yang lain rata-rata mendoakannya supaya segera sembuh.

BACA: Pakai Kulit Telur, Macam Ni Cara Nak Asah Mata Pisau “Blender”, Bagi Tajam Semula

Sumber: Anime Senpai

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma