Siakap Keli
penampakan ufo pasuruan
Gambar: Tangkap layar video tular

Viral Penampakan ‘UFO’ Di Pasuruan, Indonesia

Viral Penampakan ‘UFO’ Di Pasuruan, Indonesia

Penduduk di bandar Pasuruan di Indonesia kecoh apabila ternampak kelibat yang dikatakan pesawat asing atau objek terbang tidak dikenali (UFO) sehingga ia tular di media sosial, lapor CNN Indonesia.

Perkara itu terjadi apabila satu rakaman yang dimuat naik oleh akaun @kabarufo di Twitter memaparkan satu objek putih bergerak di langit.

Video berdurasi 23 saat itu menunjukkan objek putih nipis bergerak secara perlahan di langit biru.

“Penampakan UFO di Bangil, Pasuruan, Jawa timur, 9 Julai 2023, jam 12 waktu Indonesia Barat dirakam.

“Objek berbentuk rata atau bujur berwarna putih terbang terus dari timur ke barat dan tiada bunyi yang dikeluarkan,” memetik ciapan akaun itu.

Gambar: Tangkap layar video tular

Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian daripada pihak berwajib.

BACA: Jerebu Tebal Punya Pasal, Ingatkan UFO Rupanya Tangki Air

Respon pihak berwajib

Ketua Bahagian Data dan Maklumat Badan Meteorologi, Cuaca dan Geofizik (BMKG) Juanda Teguh Tri Susanto berkata tiada objek kelihatan di langit ketika fenomena itu berlaku.

“Langit cerah, tidak ada apa-apa,” katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai dakwaan UFO, beliau berkata itu bukan kepakarannya dalam mengenal pasti objek tersebut.

“UFO bukan domain BMKG, sila tanya pihak berkaitan,” ujarnya.

Selaras dengan itu, peramal cuaca BMKG Maritim Tanjung Perak Surabaya Sutarno berkata cuaca cerah ketika penampakan itu berlaku.

“Tiada maklumat daripada rakan BMKG di Pasuruan.

“Ya tuan, tiada ada (laporan fenomena alam) daripada rakan-rakan, cuaca juga kondusif,” katanya.

Dalam pada itu, penyedia perkhidmatan navigasi penerbangan Republik Indonesia, AirNav turut mengakui tidak menerima sebarang laporan mengenai aktiviti penerbangan aneh di Pasuruan.

Reaksi warga maya

Video itu telah mendapat 60 retweets, 139 tanda suka dan 41 ulasan. Sesetengah daripada mereka ada yang menyatakan penampakan itu adalah UFO.

“Ini mesti UFO, kerana jika pesawat akan ada asap panjang di belakangnya,” kata warga maya.

“Itu tangkap layar yang dijadikan video,” bantah seorang lagi netizen.

Sesetengah daripada mereka ada juga yang menganggapnya sebagai belon udara panas.

Sumber: CNN Indonesia

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana