Siakap Keli
jin bts selamatkan gadis disamun
Kredit: Twitter

Gambar “Oppa” Jin BTS Berpakaian Tentera ‘Selamatkan’ Gadis Daripada Disamun

 Gambar “Oppa” Jin BTS Berpakaian Tentera ‘Selamatkan’ Gadis Daripada Disamun

Seorang gadis di Brazil berdepan detik cemas apabila nyaris disamun, namun ‘diselamatkan’ oleh gambar Kim Seok Jin yang disimpan di dalam telefonnya.

Menurut The Straits Times, pelajar kolej, Natali Vitoria Ramis Reis, 21, sedang menunggu bas untuk pulang ke rumah selepas tamat kelas malam di Curitiba, Parana.

Bagaimanapun, ketika menunggu kehadiran bas, dia telah dihampiri seorang lelaki yang kemudian secara tiba-tiba merampas telefon bimbitnya.

Gambar Jin BTS selamatkan gadis daripada disamun

Anehnya, lelaki tersebut membatalkan hasrat untuk menyamun Natali selepas melihat gambar kunci skrin yang tertera pada telefon bimbit gadis itu.

Difahamkan, Natali menjadikan gambar Kim Seok Jin atau Jin BTS yang mengenakan pakaian seragam tentera dan memakai pelitup muka sebagai gambar kunci skrin.

Sebagai konteks, beberapa ahli kumpulan K-pop, BTS sedang menjalani perkhidmatan ketenteraan mandatori di Korea Selatan.

Selain Jin BTS, Jung Hoseok  yang memegang posisi penyanyi rap dan penari utama kumpulan itu turut menjalani perkhidmatan yang sama.

Wanita itu dilepaskan perompak kerana salah anggap foto Jin BTS yang berpakaian tentera sebagai teman lelakinya

“Penyamun itu mungkin menyangka bahawa gambar itu adalah gambar teman lelaki saya (anggota tentera), jadi dia tidak jadi menyamun,” jelas Natali.

Berita tersebut kemudian menjadi tular di seluruh dunia, termasuk di Korea Selatan, khususnya dalam kalangan peminat fanatik kumpulan berkenaan, yang digelar Army.

“Beliau (Jin) belum lagi menamatkan perkhidmatannya tetapi sudah menyelamatkan nyawa seseorang,” tulis satu ciapan dari seorang peminat.

“Selalu ada untuk Army walaupun dia (Jin) berada jauh dari mata,” kata seorang peminat lagi.

Sebelum ini, Jin telah memulakan perkhidmatan ketenteraannya pada Disember 2022 dan dijangka tamat dalam masa 17 bulan.

Pada Julai, beliau telah berkongsi  berita bahawa telah ditauliahkan pangkat korporal dua bulan lebih awal daripada jangkaan.

Jin turut memperoleh gelaran ‘askar elit’ kerana berjaya menjalani program latihan dengan cemerlang. Antara program-program dalam latihan tersebut termasuklah perlumbaan larian tiga kilometer (km), menembak dan petempuran secara individu.

Memetik Korea Herald, beliau turut menerima gelaran tersebut disebabkan personalitinya yang mesra.

Setakat ini, Jin dan J-hope merupakan dua orang ahli BTS yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan ketenteraan. Lima orang ahli lagi dijangka bakal menjalani perkhidmatan mandatori yang serupa pada masa yang akan datang.

BACA: Bang Yongguk ‘Hentikan’ Konsert, Ingatkan Peminat “Maghrib Dah Masuk”

Sumber: The Strait Times

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma