Siakap Keli
misbun bam berpisah
Gambar: Bernama

Muktamad, Misbun Sidek Sah Berpisah Dengan BAM

Muktamad, Misbun Sidek Sah Berpisah Dengan BAM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pihaknya telah berpisah dengan Datuk Misbun Sidek secara baik, lapor Sinar Harian.

Ia rentetan isu antara legenda badminton perseorangan negara itu dan BAM sekian lama.

“BAM mengesahkan bahawa Datuk Misbun Sidek telah berpisah dengan BAM melalui penyelesaian secara baik.

“BAM menganggap kes itu ditutup dan kini menumpukan perhatian kepada persiapan untuk Kejohanan Remaja Dunia 2023 akan datang,” maklum BAM dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Misbun yang berkhidmat sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) telah ditamatkan khidmatnya lebih awal. Ia berikutan kegagalan skuad remaja negara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogjakarta, Indonesia.

Perkara itu melahirkan kekecewaan terhadap bekas jurulatih berkenaan yang mendakwa tindakan itu dibuat secara sebelah pihak (tanpa perbincangannya).

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kemudiannya tampil menjelaskan bahawa pihaknya menawarkan semula kontrak itu terhadap Misbun sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini.

Walau bagaimanapun, Misbun mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut dan kedua-dua belah pihak juga dilaporkan telah mencapai kata sepakat.

Chong Wei Luah Rasa Hampa Isu Antara BAM & Misbun

Sebelum ini, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei meluahkan terguris dengan kemelut yang melanda antara (BAM) dan Datuk Misbun Sidek, lapor Astro Awani.

Jelasnya, Misbun dan BAM merupakan dua entiti yang bertanggungjawab menjadikannya sebagai ikon Badminton di dunia mahupun Malaysia.

BACA JUGA: Misbun Terima Permohonan Maaf Norza, Akan Pertimbang Tawaran BAM

“Saya mengakui apa yang Tan Sri cakap, sewaktu dia bawa Datuk Misbun (ke dalam BAM), kami tidak mempunyai banyak penaja. Tan Sri sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaannya.

“Dengan itu barulah masa depan saya ada. Saya boleh katakan yang keputusan Tan Sri itu adalah untuk kebaikan badminton negara. Untuk menghasilkan bukan sahaja Lee Chong Wei kedua tetapi mungkin lima atau enam orang lagi.

“Saya menjadi saksi Tan Sri (menawarkan kontrak) di rumahnya (Misbun) dan atas dasar itu, saya berada di sini dalam sidang media ini.

“Akan tetapi, mengenai tawaran yang diberikan Tan Sri itu perlu diberikan kepada Datuk Misbun untuk membuat keputusan.

“Isu ini memang agak mengguriskan hati saya kerana badminton sentiasa ada dalam darah saya dan saya pernah 19 tahun dalam BAM. Tiada orang lain lebih lama daripada saya.

“Bagi saya, BAM sentiasa melakukan yang terbaik buat atlet dan jurulatih kita,” katanya dalam satu sidang media.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?