Siakap Keli
malas tukar minyak enjin
Kredit: AFP

Jangan Buat Main, Ini Yang Terjadi Jika Anda Tak Pernah Tukar Minyak Enjin Kereta

Jangan Buat Main, Ini Yang Terjadi Jika Anda Tak Pernah Tukar Minyak Enjin Kereta

Minyak enjin atau nama timangannya ‘minyak hitam’ merupakan salah satu bendalir pada kereta yang wajib ditukar secara berkala.

Setiap syarikat pembuat kereta biasanya menyarankan pengguna untuk menggantikan minyak enjin apabila kereta mencapai kilometer atau sela masa tertentu.

Secara umumnya, minyak enjin memiliki pelbagai fungsi seperti melindungi, membersihkan dan menyejukkan enjin kenderaan anda.

Akan tetapi, pernah tak anda terfikir apa yang terjadi kepada enjin jika anda tidak menukar minyak enjin mengikut jangka masa yang ditetapkan? Atau lebih parah, jika tidak pernah ditukar langsung?

Jika anda malas untuk tukar minyak enjin pada kenderaan, masalah-masalah ini bakal datang dan menghantui anda

Komponen akan menjadi haus

Sesebuah enjin mengandungi pelbagai komponen yang bergerak seperti piston dan injap. Sifat pelinciran pada minyak enjin anda dapat membantu untuk melindungi bahagian-bahagian tersebut daripada haus dengan mengurangkan kadar geseran.

Selepas selang pertukaran minyak yang disyorkan, tahap kelinciran minyak enjin akan merosot dan tidak dapat melindungi komponen daripada geseran secara sepenuhnya. Perkara ini akan menyebabkan komponen-komponen di dalam enjin kenderaan menjadi haus dan rosak.

Enjin menjadi terlampau panas

Untuk makluman, sistem penyejukan di dalam kenderaan sahaja tidak cukup untuk menyejukkan enjin. Minyak enjin juga memainkan peranan penting kerana minyak enjin mampu mencapai bahagian yang tidak dapat dilalui oleh cairan penyejukan.

Apabila minyak enjin digunakan dalam jangka masa yang agak lama, minyak tersebut akan menjadi lebih likat kerana terdedah kepada suhu tinggi.

Perubahan sifat termal minyak ini akan menghalangnya untuk menyerap haba secara efisien. Ini  boleh menyebabkan enjin menjadi terlalu panas, gasket meletup, dan beberapa bahagian menjadi haus dan bengkok.

Kotoran terkumpul dalam minyak

Selain melincirkan dan menyejukkan enjin, minyak enjin turut berperanan dalam membersihkan bahagian dalaman enjin.  Bahan ini akan membuang habuk dan serpihan kecil yang berada di dalam enjin.

Lama kelamaan, banyak kotoran terkumpul yang mana dapat menyebabkan saluran minyak tersumbat. Ini dapat mengurangkan jangka hayat enjin secara signifikan.

Bukan itu sahaja, kotoran yang terkumpul ini juga memaksa enjin untuk berkerja lebih keras sekaligus menyebabkan banyak tenaga digunakan.

Apabila minyak enjin tidak diganti dalam jangka masa yang agak panjang, cecair ini akan mula bergumpal atau menjadi pepajal di dalam enjin. Lama kelamaan, minyak tersebut akan bertukar menjadi enapan pada dasar enjin.

Ketika perkara ini terjadi, minyak tersebut tidak dapat mencapai semua bahagian di dalam enjin dan seterusnya membawa kepada masalah pelinciran yang tidak efisien.

Ini dapat memberikan kerosakan yang lebih serius kepada enjin sehingga menyebabkan bahagian tersebut perlu diganti secara sepenuhnya.

Peningkatan pengguna bahan api

Apabila minyak enjin lama menjadi lebih likat dan berubah menjadi enapan, enjin kenderaan anda terpaksa bekerja dengan lebih keras.

Ini bermakna, anda memerlukan lebih banyak bahan api untuk mendapatkan jumlah kuasa yang sama. Peningkatan penggunaan bahan api akan belaku kira-kira satu hingga dua peratus.

Bukan itu sahaja, kenderaan anda juga akan membebaskan lebih banyak gas beracun ke udara.

Jaminan ketika pembelian kenderaan terbatal

Sepeti yang kita sedia maklum, pengilang kenderaan memberi jaminan waranti sewajarnya selagi mana anda mematuhi jadual penyelenggaraan yang disyorkan.

Namun, jika anda tidak berbuat demikian, jaminan yang diberikan kepada pengguna berpotensi terbatal dengan sendirinya. Sekiranya berlaku kerosakan pada enjin kereta, kos pembaikan boleh menjadi sangat tinggi apabila jaminan daripada pengilang tidak ada.

Walaupun menukar minyak enjin secara berkala menelan kos, namun percayalah ia jauh lebih murah berbanding kos menukar komponen enjin atau enjin keseluruhan sekiranya rosak.

Selain minyak petrol, minyak enjin juga merupakan bendalir penting yang diperlukan kenderaan untuk berfungsi dengan baik. Jadi, pilih minyak enjin yang bermutu ketika servis supaya prestasi enjin terjamin untuk jangka masa yang lama.

BACA: Tak Perlu Rendam & Sental, Cara Mudah Basuh Kain Lap, Kotoran Semua Hilang & Wangi Kembali

Sumber: Rymax Lubricants

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma