Siakap Keli
kepci penganjur konsert
Kredit: @DSDrNaim/TikTok

Kepci Muzik Festival: Penganjur Konsert Dinasihat Jaga Sensitiviti Agama, Adab

Kepci Muzik Festival: Penganjur Konsert Dinasihat Jaga Sensitiviti Agama, Adab

Pihak penganjur konsert dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti agama dengan memberikan tumpuan kepada pengisian program, terutamanya jika melibatkan pelajar tahfiz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar membuat teguran demikian ketika beliau diminta untuk mengulas berkenaan kehadiran pelajar tahfiz ke Kepci Muzik Festival yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor, Sabtu lepas bersempena sambutan 50 tahun KFC.

Jelasnya, walaupun program hiburan dibenarkan di negara ini namun pihak penganjur program mestilah menghormati agama dengan tidak melakukan perkara yang dilarang.

“Pada masa sama teguran saya kepada semua pihak dalam menganjurkan program untuk lebih berhati-hati dan cermat dalam menjaga sensitiviti agama, adab serta adat ketimuran kita.

“Dalam pada kita berhibur, pastikan kita mengambil perhatian kesesuaian dan pengisian program, apatah lagi audiennya melibatkan anak-anak tahfiz dan anak-anak muda,” katanya dalam satu video pada Selasa.

BACA: Kepci Muzik Festival: Kerajaan, KFC Tidak Dimaklumkan Mengenai Jemputan Pelajar Tahfiz

Beliau turut berharap agar kejadian yang berlaku membuka mata ramai pihak dan dijadikan pengajaran pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau juga telah meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Nasihat saya ke hadapan, jadikan ia sebagai iktibar kepada semua untuk memastikan mengikut garis panduan yang telah disediakan.

Saya telah meminta pihak JAKIM untuk memanggil pihak berkenaan dalam mengambil tindakan yang sewajarnya,” tambahnya.

Jelasnya, program tersebut tidak melibatkan kerajaan dan merupakan konsert anjuran pihak korporat dan swasta.

“Pejabat Menteri Hal Ehwal Agama telah menghubungi pihak penganjur dan meminta penjelasan berkenaan isu tersebut.

“Makluman yang diterima oleh penganjur ialah jemputan pelajar-pelajar tersebut ke program karnival dan konsert berkenaan telah dibuat oleh pihak ketiga yang menaja golongan yang kurang bernasib baik, termasuklah anak-anak tahfiz dari sebuah madrasah masyarakat Rohingya di Shah Alam,” katanya.

Sumber: @DSDrNaim/TikTok

BACA: Bayi Lelaki Ditemukan Di Luar Pusat Tahfiz

Nurhanis

noktah