Siakap Keli
Gerai warga asing
Kredit Majlis Bandaraya Seremban

Gerai Warga Asing Di Kaki Lima Disita Majlis Bandaraya Seremban

Gerai Warga Asing Di Kaki Lima Disita Majlis Bandaraya Seremban

Pihak berkuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah bertindak menyita gerai warga asing yang menjalankan perniagaan di kaki lima di dua premis berasingan di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, lapor Sinar Harian.

Operasi yang dijalankan pada Khamis lalu telah berjaya menyita gerai yang dikesan menjalankan perniagaan makanan basah dan sayur-sayuran.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata operasi dijalankan hasil daripada aduan awam.

Operasi dilaporkan telah dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan MBS antara jam 8 hingga 9.15 malam Khamis lalu.

“Pasukan serbuan turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kesihatan telah memeriksa dua premis yang diuruskan oleh warga asing.

“Siasatan mendapati premis berkenaan memiliki lesen perniagaan runcit dari pihak majlis (MBS) atas nama rakyat tempatan. Kedua-dua premis menjalankan aktiviti menjual barangan basah (sayuran) yang diletakkan di kaki lima premis,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Veerapan lagi, sitaan kemudiannya telah dilakukan ke atas kedua-dua premis terbabit. Sitaan dibuat atas kesalahan menjual barangan di kaki lima tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Kesemua barang sitaan disimpan di Setor Penyimpanan MBS di Jalan Labu, Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum operasi itu dilakukan, tular sebuah rakaman video di media sosial yang memaparkan beberapa warga asing bertindak meniaga di kaki lima.

Kejadian itu dikatakan berlaku di kaki lima premis sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

BACA: Jadikan Apartmen Sebagai “Perkampungan”, JIM Tahan 425 Pendatang Tanpa Izin

Warga Asing Jadikan Premis Perniagaan Tempat Pelihara Ayam & Itik 

Premis dijadikan tempat penyimpanan, pelihara dan jualan ayam serta itik oleh peniaga warga asing dari Myanmar dilaporkan telah disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Memetik Sinar Harian, operasi tersebut telah dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar.

Operasi yang dinamakan sebagai Operasi Tindakan Khas Premis Perniagaan itu telah dijalankan di sekitar Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Selayang.

Menurut unit media DBKL, premis berkenaan didakwa telah menimbulkan gangguan awam yang melibatkan isu kekotoran. Ia juga telah menghalang laluan dan menyebabkan bau busuk sekitar kawasan berhampiran.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka