Siakap Keli
gempa bumi maghribi
Kredit Al Oula Television

Gempa Bumi Kuat Landa Maghribi, Hampir 300 Orang Disahkan Terkorban

Gempa Bumi Kuat Landa Maghribi, Hampir 300 Orang Disahkan Terkorban

Gempa bumi kuat yang melanda Maghribi pada malam tadi dilaporkan telah mengorbankan seramai 296 orang dan 153 yang lain cedera, lapor AFP.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi memberitahu bahawa gempa bumi bermagnitud 6.8 itu telah mengorbankan 296 mangsa di beberapa wilayah negara tersebut.

“Menurut laporan, gempa bumi itu mengorbankan 296 orang di wilayah dan majlis perbandaran Al-Haouz, Marakesh, Ouarzate, Azilal, Chishaoua dan Taroudant,” kata Kementerian Dalam Negeri Maghribi.

Gempa bumi kuat itu melanda 44 batu (71 kilometer) barat daya dari kawasan tumpuan pelancong Marrakesh pada kedalaman sejauh 18.5 kilometer pada jam 11.11 malam tadi.

“Kami merasakan gegaran yang sangat kuat, dan saya menyedari ia adalah gempa bumi,” kata seorang mangsa yang dikenali sebagai Abdelhak El Amrani, 33, di Marakesh.

“Saya dapat melihat bangunan bergerak tetapi kami sudah semestinya tidak mempunyai refleks untuk situasi seperti ini. Kemudian saya keluar dan melihat orang ramai yang terkejut dan panik. Malahan, ada kanak-kanak yang menangis.

“Elektrik terpadam selama 10 minit, begitu juga dengan rangkaian telefon. Tetapi ia kemudian berfungsi semula. Semua orang memutuskan untuk tinggal di luar,” tambahnya lagi.

BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas

Seorang lagi penduduk Marrakesh, Fayssal Badour memberitahu AFP bahawa ketika kejadian dia sedang memandu.

“Saya berhenti dan menyedari betapa besar bencana itu. Ia sangat serius, seolah-olah tebing sungai telah runtuh . Jeritan dan tangisan dapat didengari,” kata Fayssal.

Selain itu, hospital di Marrakesh dilaporkan telah menerima kemasukan jumlah mangsa yang ramai.

Di bandar Al-Haouz iaitu kawasan berhampiran pusat gempa, sebuah keluarga didapati telah terperangkap dalam runtuhan selepas rumah mereka dikatakan runtuh akibat gempa.

Sementara itu, gempa bumi turut dikatakan dirasai di bandar pantai Rabat, Casablanca dan Essaouira.

“Panik menyelubungi orang ramai ketika kejadian. Kami mendengar jeritan pada masa gegaran.

“Orang ramai berada di dataran, di kafe dan ada yang tidur di luar. Runtuhan bangunan juga berada di merata-rata tempat,” kata seorang penduduk di Essaouira.

Dalam pada itu, sistem PAGER USGS, yang menyediakan penilaian awal tentang kesan gempa bumi telah mengeluarkan amaran tahap jingga untuk kerugian ekonomi.

Kejadian sama pada sebelum ini dengan tahap amaran yang sama memerlukan respons di peringkat serantau atau nasional, menurut agensi kerajaan AS.

USGS berkata bahawa penduduk di rantau ini tinggal dalam struktur yang sangat terdedah kepada gempa bumi.

Menurut NetBlocks, sambungan internet juga terganggu di Marrakesh disebabkan bekalan elektrik terputus.

Media Maghribi melaporkan kejadian itu adalah yang paling kuat pernah melanda negara itu setakat ini.

Gempa bumi turut dirasai di negara jiran Algeria, di mana Pertahanan Awam Algeria memberitahu bahawa tiada kerosakan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Imbas kembali, pada tahun 2004, sekurang-kurangnya 628 orang terbunuh dan 926 yang lain cedera selepas gempa bumi melanda Al Hoceima di timur laut Maghribi.

Gempa bumi El Asnam pada 1980 berukuran 7.3 magnitud di negara jiran Algeria adalah salah satu gempa bumi terbesar dan paling dahsyat pernah dicatatkan.

Ia membunuh seramai 2,500 orang dan sekurang-kurangnya 300,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Sumber: AFP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: