Perlu Tahu, Warna Air Kencing Beri “Hint” Tentang Tahap Kesihatan Tubuh Badan
Air kencing mempunyai pelbagai warna dan kalau nak tahu, ia juga boleh menentukan tahap kesihatan tubuh badan seseorang.
Bukan sahaja warna kuning, tetapi ia juga mempunyai warna-warna yang lain seperti oren, merah dan kadangkala warna hitam pun ada.
Jika suatu hari, air kencing anda berubah warna dan tidak seperti biasa iaitu warna kuning, anda perlu cepat-cepat dapatkan nasihat pakar.
Ini kerana, warna tersebut tidak normal seperti yang dikongsi oleh Hello Doktor di bawah ini, yang menyatakan terdapat beberapa variasi warna yang menandakan urin anda mungkin tidak normal.
Ikuti perkongsian di bawah ini.
12 Warna Air Kencing Tidak Normal Yang Anda Kena Tahu! Hitam Pun Ada?
Umumnya, warna urin yang kita semua sering anggap sebagai normal adalah di antara kuning dan jernih. Namun, tahukah anda bahawa ada banyak lagi warna lain?
Warna-warna ini pula mungkin boleh jadi indikator sama ada anda sihat atau tidak. Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih lanjut.
Kaitan warna air kencing & kesihatan
Kadangkala, kita semua mungkin tidak perasan akan variasi warna air kencing kerana kurang peduli mengenai kaitannya terhadap tahap kesihatan tubuh badan.
Pun begitu, anda perlu tahu bahawa ia sebenarnya dipengaruhi oleh makanan yang anda makan, minuman yang anda minum serta ubatan tertentu yang anda ambil.
Persoalannya, apakah warna urin yang dianggap normal dan tidak? Tenang, kami ada jawapannya!
Apa warna urin yang mungkin normal?
Ramai doktor telah mengklasifikasikan warna air kencing yang normal sebagai ‘urochrome’. Berikut merupakan variasi warna urin yang mungkin normal:
#1. Warna kuning jernih
Merupakan warna yang paling umum dan biasa ditemui, ia adalah petanda bahawa urin anda adalah normal dan mungkin tidak ada masalah berkaitan dengannya.
#2. Warna jerami pucat
Jika anda ada warna urin seperti ini, anda boleh dianggap bertuah kerana ia adalah warna yang paling sihat dan menandakan anda terhidrasi dengan sempurna.
Apa warna urin yang tidak normal?
Selain dua warna yang telah kami nyatakan di atas tadi, ada beberapa warna air kencing lain yang mungkin dikategorikan sebagai tidak normal termasuklah:
Warna urin tidak normal #1. Tidak berwarna
Air kencing yang langsung tidak berwarna mungkin menandakan bahawa tubuh badan anda mengalami terlebih hidrasi kerana minum terlalu banyak air.
Meskipun tidak begitu berbahaya seperti dehidrasi, ia akan membuat anda kerap kencing lantas membuang mineral penting seperti elektrolit dari tubuh badan.
#2. Warna kuning gelap
Sebenarnya, anda masih boleh anggap ia adalah normal kerana masih ada warna kuning namun ini merupakan petanda bahawa anda mungkin ada dehidrasi ringan.
#3. Warna madu ambar
Ia mungkin petanda anda ada dehidrasi. Jika anda ada air kencing berwarna seperti ini, disarankan agar anda minum lebih banyak air.
#4. Warna oren terang
Warna ini mungkin menandakan anda ada ambil makanan atau minuman dengan pewarna, lebihan vitamin B dari darah ataupun ada masalah berkaitan organ hati atau hempedu.
Warna urin tidak normal #5. Oren
Anda mungkin sedang mengambil ubatan tertentu seperti rifampin atau phenazopyridine dan ini adalah kesan sampingan biasa yang tidak perlu terlalu dibimbangkan.
#6. Warna oren gelap
Warna ini mungkin menandakan anda mengalami simptom penyakit jaundis, rhabdomyolysis atau sindrom Gilbert. Segera berjumpa doktor untuk nasihat, ubatan dan rawatan.
#7. Warna merah jambu
Menurut Pakar Nefrologi Dr Dena Rifkin, air kencing berwarna pink mungkin disebabkan oleh pengambilan ubi bit, beri biru atau pokok rhubard yang tidak berbahaya.
Namun, ia juga mungkin boleh jadi petanda masalah lebih besar sekiranya warna urin ini lebih cenderung ke merah. Sila teruskan membaca warna yang seterusnya.
Warna urin tidak normal #8. Merah
Warna merah seakan darah pada air kencing (hematuria) yang merupakan petanda mungkin ada jangkitan, batu karang atau tumor di dalam salur kencing.
Selain itu, ia juga boleh jadi disebabkan masalah prostat, keracunan merkuri atau gangguan jarang berlaku iaitu porphyrias. Jadi, jangan berlengah untuk berjumpa doktor.
#9. Warna putih susu
Seakan air mani, ia mungkin disebabkan oleh pengambilan mineral seperti kalsium, fosfat atau protein yang berlebihan atau petanda jangkitan salur kencing.
#10. Warna biru
Selain disebabkan oleh beberapa pewarna makanan atau ubatan tertentu, ia juga mungkin petanda gangguan metabolik sindrom blue diaper yang perlu rawatan lanjut.
#11. Warna hijau
Bagi sesetengah individu, makan sayur seperti asparagus mungkin adalah puncanya. Namun ia juga mungkin petanda ada jangkitan bakteria pada salur kencing anda.
Warna urin tidak normal #12. Hitam
Paling menakutkan, ada warna air kencing yang berwarna hitam akibat keracunan tembaga atau fenol serta kondisi melanoma. Segera berjumpa doktor untuk diagnosis.
Sumber: Hello Doktor
BACA: Betul Ke Air Kencing Warna Keruh Tanda Diabetes? Hati-hati, Ramai Tak Perasan Soal Ni