Anthony Loke Arah JPJ, APAD Siasat Muatan Lori Terlibat Kemalangan Maut Di Putrajaya
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada hari ini telah diarahkan untuk melakukan siasatan terhadap lori yang terlibat dalam kemalangan maut di Putrajaya pagi tadi, lapor Astro Awani.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan akan tertumpu kepada lori tersebut termasuk kemungkinan lebihan muatan yang dibawa oleh lori terbabit.
Beliau turut menjamin bahawa siasatan berhubung insiden itu akan dilakukan secepat yang mungkin oleh pihak yang terlibat.
“Konvoi itu bukan dengan mana-mana VIP, ia adalah raptai untuk Le Tour de Langkawi (LTdL).
“Itu adalah latihan untuk LTDL. Ini telah diberitahu kepada saya oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Sudah pasti ia kejadian yang sangat menyedihkan apabila lori merempuh kenderaan di sana.
JPJ dan APAD diminta untuk menyiasat lori tersebut
“Saya juga telah meminta JPJ dan APAD untuk menjalankan siasatan, sama ada lori berkenaan terlebih muatan atau tidak.
“Melihat daripada gambar lokasi kejadian, muatan lori tersebut agak penuh juga. Jadi kita pasti akan membuat siasatan sama ada terlebih muatan atau tidak,” katanya.
Anthony berkata demikian selepas menghadiri Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) National Affairs Conference sebentar tadi.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seramai dua penunggang motosikal disahkan maut selepas terlibat dalam nahas yang melibatkan 12 buah kenderaan tersebut.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, pada pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Azizi berkata bahawa kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.14 pagi tadi.
Ketika kejadian, kesemua kenderaan yang terbabit dikatakan telah berhenti untuk memberi laluan kepada konvoi anggota trafik Le Tour de Langkawi (LTdL).
Sumber: Astro Awani