Siakap Keli
arena of valor tumpuan
Kredit: BERNAMA

Pasukan Arena Of Valor Curi Tumpuan Berbanding Sukan Tradisional

Pasukan Arena Of Valor Curi Tumpuan Berbanding Sukan Tradisional

HANGZHOU, 25 Sept (Bernama) — Penantian kilauan pingat pertama Malaysia di Sukan Asia Hangzhou 2022 diisi dengan pencapaian cemerlang pasukan Arena of Valor negara yang sudah pun menggenggam sekurang-kurangnya pingat perak selepas mengesahkan tempat ke final hari ini.

Pasukan negara menghadiahkan khabar gembira yang ditunggu-tunggu itu dengan bergaya selepas menewaskan Vietnam 2-0 pada aksi separuh akhir di Pusat E-Sukan Hangzhou di sini.

Bagaimanapun, halangan setinggi gunung menanti pasukan negara dibarisi Lai Chia Chien, Nicholas Ng Khai Shuan, Ong Jun Yang, Eng Jun Hao, Yong Zhan Quan dan Chong Han Hui apabila dijadual bertemu China di venue yang dipenuhi penyokong tuan rumah.

Dengan e-sukan buat julung kali dipertandingkan sebagai acara berpingat, pasukan negara bakal mencipta sejarah sebagai pemenang pingat pertama Malaysia bagi e-sukan di pentas Sukan Asia.

Turut mencuri tumpuan hari ini adalah atlet pelayaran Asnawi Iqbal Adam yang berpeluang sekurang-kurangnya membutirkan gangsa acara ILCA 4 apabila menduduki tempat ketiga keseluruhan, berbaki satu perlumbaan yang dijadual esok.

Pelumba berbasikal trek juga berpeluang menggegar Hangzhou apabila trio Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah akan menggalas cabaran Malaysia dalam acara pecut berpasukan lelaki di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou, kira-kira 170km dari sini.

BACA: CJNG: Jangan Salah Orang, Ini Bukan Polis Elit Tapi Skuad Kartel Dadah Mexico

Tanpa jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, trio negara itu bukan sahaja menggalas tugas mencabar mempertahanan perak dimenangi Malaysia pada edisi lepas, malah berpeluang membuktikan sesuatu dalam usaha meneruskan kecemerlangan negara di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, skuad skuasy lelaki dan wanita kebangsaan bakal membuka tirai saingan esok di Pusat Pameran Antarabangsa Hangzhou dalam misi masing-masing mempertahankan emas dan gangsa yang dimenangi pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan cabaran dalam acara renang, menembak, hoki lelaki dan e-sukan manakala ekuestrian juga akan membuka tirai saingan menerusi pemenang perak edisi lepas Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam acara Dressage Prix St – Georges individu di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Sementara itu, tuan rumah China terus gah di persada kedudukan pingat apabila mengumpul 39 emas, 21 perak dan 9 gangsa, meninggalkan Korea Selatan di posisi kedua (10-10-13) dan Jepun ketiga (5-14-12).

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana