Siakap Keli
gangsa regu lelaki
Kredit: BERNAMA

Gangsa Dalam Genggaman Regu Berpasukan Lelaki

Gangsa Dalam Genggaman Regu Berpasukan Lelaki

HANGZHOU, 26 Sept (Bernama) — Skuad sepak takraw lelaki negara sudah mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara regu berpasukan selepas mara ke peringkat separuh akhir hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas Malaysia melakar kemenangan mudah ke atas Korea Selatan 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan B yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua di sini.

Regu pertama dibarisi Farhan Adam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Muhammad Haziq Hairul Nizam memberikan mata sulung selepas menang 2-0 sebelum trio Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi melepasi cabaran dengan keputusan 2-1.

Mata kemenangan kem negara disumbangkan Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir selepas merakam kemenangan 2-0 untuk memastikan Malaysia mara ke peringkat kalah mati selaku juara kumpulan.

Malaysia akan membuat perhitungan menentang naib juara Kumpulan A, Laos pada aksi separuh akhir di venue sama, esok.

Pengurus pasukan Sarifudin Mohd Salleh berkata pencapaian itu menyaksikan Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran keseluruhan dua pingat dengan satu daripadanya ialah kilauan emas.

“Sekarang gangsa sudah dalam genggaman dan kita berada di jalan yang betul (capai sasaran). Para pemain semua dalam keadaan fizikal dan mental terbaik dan bersedia untuk pertemuan separuh akhir.

“Berdepan Laos, kita mungkin sudah lama tak bertemu, satu pasukan yang perlu diberi perhatian kerana mereka kalahkan Jepun (dalam aksi kumpulan),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir juara bertahan, Thailand akan berdepan Korea Selatan.

Sebagai rekod, Malaysia meraih perak regu berpasukan lelaki pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Sumber: BERNAMA

BACA: Pasukan Arena Of Valor Curi Tumpuan Berbanding Sukan Tradisional

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: