Siakap Keli
lelaki cedera ditikam
Kredit: Sinar Harian

Lelaki Cedera Parah Ditikam Kerana Hutang

Lelaki Cedera Parah Ditikam Kerana Hutang

GEORGE TOWN, (Bernama) — Seorang lelaki tempatan mengalami kecederaan parah selepas ditikam dalam insiden pergaduhan dipercayai berpunca daripada masalah hutang di sebuah pasar di Lebuh Cecil di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada 3 petang sebelum ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 26 tahun berada di dalam keretanya dalam keadaan cedera serta berlumuran darah.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mengalami kecederaan luka tikaman di bahagian kaki dan perut dipercayai ditikam dengan menggunakan senjata tajam dan mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, lelaki itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan siasatan awal mendapati punca kejadian pergaduhan tersebut adalah disebabkan masalah hutang. Siasatan lanjut masih dijalankan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di kawasan Macallum pada 6.40 petang yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan permohonan reman akan dibuat esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP K. Linkeswaran di talian 04-2181 831 bagi membantu siasatan,” katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan gambar atau video berhubung insiden itu.

Sumber: BERNAMA

BACA: Angkara Hutang Suami RM540,000, Wanita Indonesia Diculik, Didera & Dikurung Selama 10 Hari

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana