Siakap Keli
metmalaysia hujan lebat
Gambar: Bernama

MetMalaysia Ramal Beberapa Episod Hujan Lebat, Gesa Orang Ramai Berwaspada

MetMalaysia Ramal Beberapa Episod Hujan Lebat, Gesa Orang Ramai Berwaspada

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia Dr Fariza Yunus berkata perubahan cuaca itu berlaku disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024.

Semasa tempoh itu, beliau berkata episod hujan lebat diramal berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula November hingga Disember, sebelum beralih ke Johor dan Sarawak pada Disember hingga Januari 2024.

BACA JUGA: Kenapa Penjaga Gol Minum Air Lepas Gol Dibolosi? Ini Sebabnya

“Hujan lebat yang berterusan boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. Risiko banjir juga akan meningkat sekiranya hujan lebat itu berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Program Malaysia Petang Ini yang membincangkan “Jangkaan Corak Berisiko Bencana”, terbitan Bernama TV hari ini.

Oleh itu, Fariza menasihatkan kepada orang ramai supaya sentiasa cakna dengan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia supaya dapat melakukan persiapan termasuk menyimpan dokumen penting di tempat yang tinggi serta berpindah ke tempat selamat apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

“Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, pemakluman mengenai permulaan MTL ini akan dikeluarkan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ia berlaku.

“Kita mempunyai pelbagai medium (platform) untuk maklumat termasuk melalui laman web MetMalaysia dan televisyen selain menghebahkannya melalui radio bagi memastikan penduduk yang tiada akses Internet turut mendapat maklumat terkini,” katanya.

Sumber: BERNAMA 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?